SINTOK, 18 April – Kebolehpasaran Graduan (GE) bagi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) Universiti Utara Malaysia (UUM) untuk tahun 2024 mencatat angka memberangsangkan iaitu 90.25 peratus.
Menurut Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Mohd Khairie Ahmad, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meletakkan sasaran GE kebangsaan adalah pada tahap 86.4 peratus dan pencapaian SMMTC melepasi sasaran ditetapkan kerajaan untuk tahun lalu.
“Walaupun industri media di negara ini sedang berhadapan dengan cabaran teknologi pengganggu (disruptive technology) seperti kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) dan sebagainya, kebolehpasaran bagi graduan komunikasi dan media UUM dapat mengatasi GE kebangsaan yang ditetapkan KPT.”
“Berdasarkan Sistem Kajian Pengesanan Graduan 2024 juga, kita dapati 5 peratus atau 15 graduan bergraduat pada tahun lalu berjaya memperoleh gaji premium iaitu sekurang-kurangnya RM4,000 dengan 8 daripadanya menerima gaji melebihi RM5,000 sebulan. Seorang graduan yang berkhidmat dengan syarikat multinasional (MNC) pula menerima gaji RM15,000 sebulan.
\”Mulai 2023, KPT menjadikan gaji premium graduan sebagai salah satu petunjuk bagi keberhasilan pendidikan tinggi negara selain kebolehpasaran graduan,” jelas Dr. Mohd Khairie yang mengulas pencapaian UUM mencatatkan 96.6 peratus bagi kadar kebolehpasaran graduan universiti untuk 2024.
Katanya, bagi memperkukuh persediaan industri para graduan SMMTC dan meningkatkan lagi GE pada masa depan, pusat pengajian komited memastikan bakal graduan menjalani latihan kemahiran AI yang dikawal selia oleh Microsoft Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran SMMTC yang dihadiri pensyarah dan kakitangan pusat pengajian.