KANGAR, 19 April- Sempena bulan Syawal yang mulia, Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dengan kerjasama Ahli Lembaga Pelawat telah menganjurkan Program Tautan Kasih Syawal, bertempat di wad-wad rawatan HTF.
Program ini melibatkan agihan pelbagai jenis biskut raya kepada 90 pesakit yang sedang menerima rawatan, sebagai satu usaha menceriakan suasana sambutan Aidilfitri di hospital.
Menurut wakil Jawatankuasa Lembaga Pelawat HTF, Areff Affandy Ariffin, program tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial Ahli Lembaga Pelawat untuk menunjukkan keprihatinan serta menyuntik semangat positif dalam kalangan pesakit.
“Selain sebagai tanda ingatan, usaha ini juga menjadi dorongan moral kepada para pesakit untuk terus kuat dan kembali pulih seperti sediakala,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, inisiatif seperti Tautan Kasih bukan sahaja menyemarakkan semangat Syawal, malah menjadi jambatan memperkukuh silaturrahim antara petugas, pesakit dan waris yang menerima rawatan di HTF.
Program ini mencerminkan nilai teras Jawatankuasa Lembaga Pelawat yang sentiasa mengutamakan ihsan, kebajikan dan kebersamaan dalam setiap pendekatan.