Home Ekonomi Harga emas diunjur cecah RM500 segram akhir tahun ini
Ekonomi

Harga emas diunjur cecah RM500 segram akhir tahun ini

Harga emas diunjur cecah RM500 segram akhir tahun ini

HARGA emas dijangka mencecah sehingga RM500 segram menjelang akhir tahun ini. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Harga emas bakal mencecah AS$3,500 (RM15,434.90) seauns atau RM496.24 segram menjelang akhir tahun ini, meningkat daripada unjuran sebelumnya iaitu AS$3,150 (RM13,891.40) atau RM446.62 segram.

BIMB Securities berkata, lonjakan harga emas ketika ini adalah nyata dan wajar, memandangkan pelabur kini mencari perlindungan yang lebih stabil dan bebas daripada risiko politik serta fiskal.

“Pelabur tidak harus terlalu awal membuat kesimpulan bahawa emas telah mencapai kemuncaknya. Kitaran kali ini tidak mempunyai sebarang rujukan sejarah. Malah, dalam jangka panjang, ia berpotensi untuk melonjak lebih tinggi berdasarkan faktor asas semasa,” katanya dalam nota kajian.

Menurut firma penyelidikan itu, terdapat lima pemacu utama yang menggerakkan harga emas dengan ketara pada masa ini antaranya kemerosotan nilai dolar Amerika Syarikat (AS) yang semakin ketara sejak beberapa minggu lalu di mana indeks dagangan berwajaran menunjukkan kelemahan mata wang berkenaan berbanding mata wang utama dunia

“Trend ini dijangka berterusan dengan potensi penurunan nilai antara empat hingga lima peratus dalam masa terdekat, satu petanda positif buat harga emas.

“Selain itu, krisis kecairan di pasaran bon AS menyokong emas dengan data menunjukkan peniaga utama kini menyimpan bon Perbendaharaan AS berjumlah AS$379 bilion (RM1.67 trilion), lebih tiga kali ganda daripada paras purata sejarah.

“Dasar luar negara AS di bawah kepimpinan Presiden Donald Trump juga menjejaskan keyakinan global menerusi langkah tidak menentu termasuk retorik agresif dan cubaan membeli wilayah seperti Greenland telah mendorong negara-negara lain menjauhkan diri dari sistem kewangan yang berpaksikan dolar.

“Tindakan menjual bon AS dan menukar rizab kepada emas mencerminkan keraguan terhadap daya tahan hutang dan sistem monetari AS,” katanya.

Jelasnya, permintaan institusi terhadap emas pula melonjak mendadak dengan data menunjukkan bank pusat kini menyumbang kepada 26.1 peratus daripada jumlah permintaan emas global pada suku pertama 2025, dua kali ganda berbanding sedekad lalu.

“China turut memainkan peranan besar dalam lonjakan harga emas global. Permintaan tempatan di China melonjak ketara, disokong oleh aktiviti spekulasi di Bursa Niaga Hadapan Shanghai serta permintaan institusi domestik yang semakin agresif.

“Bank pusat China kembali aktif membeli emas, manakala syarikat insurans diberikan kebenaran untuk memegang emas fizikal, satu langkah dasar yang memperlihatkan gerakan strategik jangka panjang,” katanya.

BIMB Securities berkata, ketidaktentuan dasar Trump mencetuskan gelombang panik global, memperkukuhkan pemacu utama harga emas, termasuk dolar AS yang lemah, keruntuhan keyakinan terhadap bon AS, serta gerakan global untuk menyah-dolarisasi.

Namun, katanya, pasaran emas tidak terlepas daripada risiko jangka pendek dengan ketidaktentuan semasa adalah tinggi dan kemungkinan berlaku pembetulan harga disebabkan pengambilan untung.

“Kebangkitan semula dolar AS sama ada melalui retorik Trump yang lebih tenang atau pendirian kurang memberangsangkan Rizab Persekutuan (Fed) boleh menyekat momentum emas buat sementara waktu.

“Bagaimanapun, kami melihat ini sebagai halangan taktikal dan peluang pembelian, bukannya ancaman terhadap trend kenaikan harga emas dalam jangka panjang.

“Ini kerana emas kini berada dalam fasa baharu yang bersejarah, menembusi paras harga tertinggi dalam sejarah dalam kedua-dua mata wang AS dan tempatan,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...

Ekonomi

Ringgit diunjur mendatar berbanding dolar AS minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Ringgit dijangka diniagakan mendatar dalam julat 4.41...