KEPALA BATAS, 15 April– Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan seorang insan yang bersederhana dalam urusan harian dan kawasan Kepala Batas sebati dengan jasa dan kenangan arwah.
Reaksi itu dinyatakan bekas Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.
Menurut beliau, jasa, kenangan dan keperibadian arwah adalah sesuatu yang tidak boleh dinafikan kerana Tun Badawi merupakan seorang insan yang amat istimewa di Kepala Batas.
\”Kenangan-kenangan saya tentang Pak Lah (Tun Abdullah) memang takkan dapat dilupakan kami anggap sebagai kawan sebagai pemimpin sebagai rakan yang terlalu akrab dengan sifat-sifat Pak Lah yang penyayang, penyabar.
Idea-ideanya, dengan pengalaman-pengalaman yang banyak itu ditumpahkan kepada kami semua terutama sekali di Kepala Batas,\” kata Tun Abdul Rahman.
Beliau menyatakan demikian kepada RTM selepas mengetahui berita sedih arwah meninggal dunia di media sosial.
Allahyarham yang juga Bapa Pembangunan Modal Insan meninggal dunia pukul 7.10 malam pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) dan akan dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara, hari ini.