Home Ekonomi Malaysia sasar RM13 bilion di Ekspo 2025 Osaka
Ekonomi

Malaysia sasar RM13 bilion di Ekspo 2025 Osaka

Pengunjung beratur seawal 9 pagi sempena hari pertama Ekspo 2025 Osaka yang menghimpunkan penyertaan 160 negara dan wilayah/Foto AFP

PUTRAJAYA, 14 April – Sebanyak 30 syarikat Malaysia bakal terlibat dalam 150 sesi padanan perniagaan bersama rakan strategik antarabangsa pada Ekspo 2025 di Osaka, Jepun.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Hairil Yahri Yaacob berkata, penyertaan itu bertujuan memperkenalkan Malaysia sebagai negara yang dinamik dan berpandangan jauh di pentas dunia.

“MITI bersama agensi berkaitan komited memastikan penyertaan Malaysia di Ekspo 2025 Osaka akan mempamerkan kekuatan negara dalam sektor-sektor strategik dan berpotensi tinggi.

“Antaranya melibatkan sektor elektrik dan elektronik, tenaga boleh baharu serta industri halal bagi menarik minat pelabur dan rakan dagang dari seluruh dunia,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Ekspo 2025 Osaka, Jepun merupakan ekspo dunia yang berlangsung mulai 13 April 2025 hingga 13 Oktober 2025 dan mengetengahkan tema \’Designing Future Society for Our Lives\’.

Datuk Hairil yang juga Ketua Pesuruhjaya Negara bagi Ekspo 2025 memaklumkan, Malaysia menyasarkan potensi nilai pelaburan berjumlah RM13 bilion serta eksport yang signifikan sepanjang penyertaan negara di ekspo berkenaan.

“Ini selaras dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi hab serantau dan destinasi utama perdagangan dan pelaburan, selain peneraju dalam pembangunan mampan,” katanya.

Ekspo 2025 Osaka selama dua minggu itu dijangka menghimpunkan penyertaan lebih 160 negara dan bakal menjadi platform terbaik untuk Malaysia mempromosikan peluang pelaburan serta mengukuhkan kerjasama strategik di peringkat global.

Related Articles

UMW Toyota catat jualan 7,773 unit pada Jun
Ekonomi

UMW Toyota catat jualan 7,773 unit pada Jun

GAMBAR HIASANPETALING JAYA: UMW Toyota Motor Sdn. Bhd. (UMWT) mengekalkan prestasi kukuh...

Sentimen pelabur kekal berhati-hati
Ekonomi

Sentimen pelabur kekal berhati-hati

BURSA Malaysia.PETALING JAYA: Pasaran saham menunjukkan pergerakan yang berhati-hati dalam dagangan minggu...

CIMB sasar RM300b pembiayaan lestari menjelang 2030
Ekonomi

CIMB sasar RM300b pembiayaan lestari menjelang 2030

PEMBIAYAAN lestari menjadi tonggak utama pelan hala tuju kelestarian CIMB 2030.PETALING JAYA:...

Baker Hughes, Petronas teroka inisiatif perniagaan sokong peralihan tenaga di Asia
Ekonomi

Baker Hughes, Petronas teroka inisiatif perniagaan sokong peralihan tenaga di Asia

BAKER HUGHESPETALING JAYA: Syarikat teknologi tenaga, Baker Hughes menjalinkan kerjasama dengan Petroliam...