Home Ekonomi Dana Infrastruktur ASEAN lancar pelan tindakan baharu
Ekonomi

Dana Infrastruktur ASEAN lancar pelan tindakan baharu

Dana Infrastruktur ASEAN lancar pelan tindakan baharu

AMIR Hamzah Azizan (tengah) berucap merasmikan Pelancaran Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025-2028 pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

KUALA LUMPUR: Dana Infrastruktur ASEAN (AIF), inisiatif pembiayaan infrastruktur terbesar di rantau ini yang dibiayai oleh sumbangan ahli, melancarkan Pelan Tindakan 2025 hingga 2028 bagi memacu projek infrastruktur yang mampan di rantau ini.

Pelan tindakan yang disahkan pada Mesyuarat Menteri Kewangan dan Gabenor Bank Pusat ASEAN (AFMGM) ke-12 akan menjadi panduan strategik dan boleh diambil tindakan untuk dana itu bagi empat tahun akan datang.

Ia juga menjadi ‘dokumen hidup’ tertakluk kepada bimbingan berterusan lembaga pengarahnya, yang terdiri daripada 10 negara anggota ASEAN dan Asian Development Bank (ADB).

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata pelan tindakan itu memberikan komitmen AIF kepada visi pertumbuhan yang bercita-cita tinggi, nilai yang dipertingkatkan kepada peminjam, perkongsian baharu dan kehadiran serantau yang lebih tinggi.

Katanya, Malaysia, sebagai Pengerusi AIF dan ASEAN pada 2025, percaya bahawa AIF mewakili mekanisme penting untuk menangani cabaran infrastruktur rantau ini dan menyokong sepenuhnya evolusi berterusannya ke arah ASEAN yang lebih mampan, berdaya tahan dan inklusif.

“Sejak penubuhannya, AIF telah membiayai 15 projek ikonik dalam pelbagai sektor seperti Pertanian, Sumber Asli dan Pembangunan Luar Bandar, Pengangkutan, Tenaga, Air dan Pembangunan Bandar.

“Semua projek itu telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan keterhubungan serantau dan integrasi ekonomi.

“Dengan sokongan kukuh semua negara anggota ASEAN dan rakan pembiayaannya, AIF bersedia untuk memasuki fasa baharu dengan skala dan impak yang lebih besar bagi menyokong usaha ASEAN membiayai lebih banyak projek infrastruktur hijau dan berdaya tahan di rantau ini.

“Setakat ini, AIF telah meluluskan lebih daripada AS$500 juta dan menyalurkan lebih daripada AS$460 juta bagi menyokong 15 projek di enam negara ASEAN,” katanya semasa Majlis Pelancaran Pelan Tindakan Dana Infrastruktur ASEAN (AIF) 2025 hingga 2028 di sini, hari ini.

Amir Hamzah berkata, keutamaan segera dalam pelan tindakan itu antaranya adalah memperluas kapasiti kewangan dana dengan mendapatkan modal baharu, bagi membolehkan lebih banyak pinjaman diberikan kepada negara anggota ASEAN.

“Selain itu, ia menambah baik daya saing harga pinjaman AIF melalui pelarasan dasar dan semakan berkala serta memperluaskan rangkaian penyelesaian pembiayaan AIF melalui kemudahan inovatif baharu, termasuk bagi penyediaan projek kesalinghubungan serantau seperti Grid Kuasa ASEAN dan pinjaman perintis dalam kewangan Islam.

“Ia juga bagi mengembangkan lagi kerjasama Kemudahan Pembiayaan Hijau Pemangkin ASEAN (ACGF) dengan Bank Pembangunan Pelbagai Hala dan Institusi Kewangan Pembangunan lain serta memperluas akses kepada lebih banyak penyumbang modal awam dan swasta, menyalurkan lebih banyak kepakaran dan meningkatkan senarai projek AIF,” ujarnya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...

Ekonomi

Ringgit diunjur mendatar berbanding dolar AS minggu depan

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 19 April- Ringgit dijangka diniagakan mendatar dalam julat 4.41...