LAWAS, 16 Mac– Projek pembinaan dan naik taraf rangkaian jalan raya yang menghubungkan Sarawak dan Sabah dijangka memberi manfaat besar kepada kedua-dua wilayah dalam pelbagai sektor, termasuk ekonomi, perdagangan dan pelancongan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hasan, memaklumkan projek yang terlibat termasuk Lebuh Raya Persisir Utara, Rangkaian Jalan Raya Sarawak-Sabah (SSLR) dan Lebuhraya Trans Borneo.
Menurutnya, SSLR Fasa 1, yang melibatkan jajaran Lawas ke Persimpangan Long Lopeng, telah bermula sejak Ogos 2021.
Sementara itu, Projek Lebuhraya Persisir Utara, yang akan melalui Brunei Darussalam, dijangka bermula tahun ini, selain pembinaan jalan raya bagi Lebuhraya Trans Borneo.
\”Semua projek ini akan diintegrasikan bagi meningkatkan kemudahan perhubungan. Ia bukan sahaja merancakkan ekonomi dan perdagangan antara Sarawak dan Sabah, malah menjadikan kawasan ini sebagai hab utama bagi pergerakan dan pembangunan infrastruktur,\” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Iftar Perdana Borneo di Masjid Sahabat, Merapok-Sindumin.
Selain itu, beliau turut menekankan potensi pembangunan sektor pertanian, penternakan dan pelancongan di sepanjang laluan berkenaan, khususnya di Lawas, Sarawak dan Sipitang, Sabah.