Home Ekonomi Bilangan penganggur menurun pada Januari
Ekonomi

Bilangan penganggur menurun pada Januari

Bilangan penganggur menurun pada Januari

KADAR pengangguran di Malaysia pada Januari 2025 terus menurun. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Jumlah penganggur berkurang kepada 533,800 orang pada Januari, berbanding 538,500 orang pada Disember lalu dengan kadar pengangguran tidak berubah pada 3.1 peratus, menurut Jabatan Perangkaan.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh negara berada dalam trend meningkat, mencerminkan penambahbaikan berterusan dalam kedudukan ekonomi negara walaupun terdapat beberapa cabaran dalam perdagangan dan inflasi.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh pada Januari 2025 terus bertambah, meningkat sebanyak 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 17.22 juta orang berbanding 17.17 juta orang pada Disember 2024.

“Sementara itu, kadar penyertaan tenaga buruh kekal pada 70.6 peratus seperti bulan sebelumnya. Trend positif dalam tenaga buruh ini adalah didorong oleh peningkatan dalam guna tenaga, manakala bilangan penganggur terus menurun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bilangan penduduk bekerja pada Januari 2025 terus bertambah, mencatatkan peningkatan sebanyak 0.3 peratus untuk mencapai 16.68 juta orang berbanding 16.63 juta pada Disember tahun lalu.

Mengulas mengenai situasi guna tenaga, beliau berkata, kategori pekerja yang merangkumi 75.3 peratus daripada jumlah penduduk bekerja juga mencatatkan pertambahan sebanyak 0.3 peratus kepada 12.56 juta orang berbanding 12.53 juta orang pada Disember 2024.

“Kategori penduduk bekerja sendiri juga menunjukkan peningkatan sebanyak 0.7 peratus kepada 3.11 juta orang berbanding 3.09 juta orang pada Disember.

“Mengikut sektor ekonomi, guna tenaga dalam sektor perkhidmatan menunjukkan pertumbuhan yang stabil, terutamanya dalam aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman, perdagangan borong dan runcit serta aktiviti kesihatan kemanusiaan dan kerja sosial.

“Begitu juga, sektor pembuatan, pembinaan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian turut menunjukkan pertumbuhan guna tenaga yang positif pada Januari 2025,” katanya.

Uzir Mahidin berkata, 79.4 peratus daripada jumlah penganggur adalah penganggur aktif, iaitu mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan.

“Dalam kategori ini, bilangan tersebut berkurang sebanyak 0.5 peratus kepada 423,690 orang berbanding 425,700 orang pada Disember.

“Mengikut tempoh menganggur bagi penganggur aktif, 63.6 peratus adalah mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan, manakala 5.6 peratus berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun.

“Sementara itu, penganggur tidak aktif, atau mereka yang percaya bahawa tiada pekerjaan tersedia, menurun sebanyak 2.3 peratus kepada 110,200 orang berbanding 112,800 orang pada Disember 2024,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Lawatan Xi Jinping buka laluan kerjasama strategik baharu Malaysia-China

Sebanyak 31 memorandum persefahaman (MoU) dimeterai merangkumi sektor kritikal: ekonomi, perdagangan, pendidikan,...

Ekonomi

Lawatan PM ke Thailand: Malaysia raih potensi eksport RM1.07 bilion

Malaysia berjaya meraih potensi eksport berjumlah RM1.07 bilion hasil lawatan rasmi Perdana...

Ekonomi

Kempen Umrah 1,000 Asnaf: Sembilan individu pertama terima tajaan

Ketua Pegawai Eksekutif Ikhlas.com, Ikhlas Kamarudin / Foto BernamaPETALING JAYA, 19 April...

Ekonomi

AirAsia buka laluan ke Uzbekistan mulai September

Foto Hiasan / BernamaKUALA LUMPUR, 19 April – Uzbekistan komited untuk memperkukuh...