Wednesday , 12 March 2025
Home Ekonomi Ringgit dibuka kukuh didorong jangkaan tinggi terhadap penurunan kadar AS
Ekonomi

Ringgit dibuka kukuh didorong jangkaan tinggi terhadap penurunan kadar AS

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 10 Mac– Ringgit dibuka kukuh berbanding dolar AS pada Isnin, meneruskan momentum positifnya, didorong oleh jangkaan yang meningkat mengenai penurunan Kadar Dana Persekutuan Amerika Syarikat (AS), yang menyebabkan kemerosotan Indeks Dolar AS (DXY).

Pada 8 pagi, mata wang tempatan terus meningkat kepada 4.4085/4210 berbanding dolar AS daripada 4.4110/4145 pada Jumaat lepas.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata DXY AS merosot kepada 103.830 mata, menunjukkan potensi kenaikan ringgit.

Mengetengahkan faktor lain di sebalik kenaikan ringgit, beliau berkata data pasaran pekerjaan terkini di AS menunjukkan tanda-tanda trend lemah, dengan kadar penyertaan tenaga kerja jatuh kepada 62.4 peratus, terendah sejak Januari 2023 manakala kadar pengangguran meningkat kepada 4.1 peratus pada Februari daripada 4.0 peratus sebelum ini.

“Dalam temu bual pada Ahad dengan Fox News, Presiden AS Donald Trump menyatakan bahawa ekonomi AS berada dalam tempoh peralihan, mengalihkan perhatian daripada kebimbangan mengenai kemelesetan.

“Tahap ketidaktentuan ekonomi semakin meningkat berikutan dasar tarif yang dapat dilihat sebagai tidak konsisten, menyebabkan kesukaran dalam menilai impaknya terhadap ekonomi secara keseluruhan,” katanya kepada Bernama.

Sehubungan itu, katanya sentimen pasaran secara keseluruhan dijangka kekal defensif dalam masa terdekat.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.7011/7172 daripada 5.7070/7115 pada Jumaat lepas, melonjak berbanding euro kepada 4.7876/8012 daripada 4.7903/7941 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.9872/9961 daripada 2.9909/9935 sebelum ini.

Mata wang tempatan turut mencatatkan prestasi baik berbanding mata wang ASEAN.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.3152/3251 daripada 3.3185/3214 pada Jumaat lepas, naik berbanding baht Thailand kepada 13.0657/1109 daripada 13.1124/1290 dan menambah berbanding rupiah Indonesia kepada 270.5/271.4 daripada 270.6/271.0, bagaimanapun mendatar berbanding peso Filipina kepada 7.71/7.74 daripada 7.71/7.73 sebelum ini.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Indeks Dolar AS susut, ringgit terus mengukuh pada sesi awal

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 12 Mac– Ringgit meneruskan pengukuhannya berbanding dolar Amerika Syarikat...

Ekonomi

LTAL dinobat Lapangan Terbang Terbaik Asia Pasifik

Foto Hiasan / BernamaKUBANG ROTAN, 12 Mac – Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi...

Inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh kedua 2025
Ekonomi

Inflasi dijangka lebih tinggi pada separuh kedua 2025

TRAJEKTORI inflasi 2025 akan dipengaruhi oleh penyesuaian dasar domestik dan faktor-faktor luaran.PETALING...

Program MM2H jana pelaburan tahunan hampir RM1 bilion
Ekonomi

Program MM2H jana pelaburan tahunan hampir RM1 bilion

PETALING JAYA: Program visa Malaysia My Second Home (MM2H) yang dipinda pada...