KUALA LUMPUR, 6 Mac –Bermula September ini, proses permohonan bagi permit masuk pasangan warga asing yang berkahwin dengan warganegara Malaysia akan dipermudahkan bagi mempercepatkan tempoh kelayakan permohonan.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah ini bertujuan mempercepatkan prosedur bagi pasangan yang ingin mendapatkan permit masuk.
\”Jika mereka sudah berkahwin selama tiga tahun, kita akan berikan \’Spouse Visa\’. Masuk tahun keempat, mereka boleh memohon permit masuk. Namun, jika perkahwinan mereka didaftarkan di luar negara dan sudah berusia tiga hingga empat tahun, mereka masih boleh mendaftar perkahwinan di sini,\” jelasnya ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung di Parlimen.
Tambah beliau, bagi pasangan yang mendaftar perkahwinan di luar negara, mereka hanya perlu berada di Malaysia selama setahun sebelum layak memohon permit masuk pada tahun kedua.
Sebelum ini, pasangan warga asing perlu menetap di Malaysia sekurang-kurangnya lima tahun sebelum layak membuat permohonan tersebut.
Saifuddin turut menegaskan komitmen berterusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam mempermudahkan sistem penyampaian kepada rakyat, khususnya dalam urusan visa dan permit masuk.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin memaklumkan bahawa KDN melalui Jabatan Imigresen sedang melaksanakan proses digitalisasi bagi memastikan data penyimpanan serta status permohonan dapat diakses secara dalam talian.
\”Kami telah beralih kepada sistem digital terutama bagi pas-pas terpilih yang kini diuruskan secara dalam talian. Sebelum ini, kerajaan membelanjakan hampir RM13 juta hanya untuk mencetak pelekat visa. Kini, pelekat tidak lagi diperlukan kerana pemohon hanya perlu membawa status pas mereka dalam aplikasi digital,\” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa semua kakitangan Imigresen telah dilengkapi dengan sistem dan peralatan khas bagi mengesan ketulenan dokumen, sekaligus mengelakkan sebarang penipuan.
Jabatan Imigresen Malaysia mengeluarkan hampir tiga juta visa setiap tahun, dan dengan pelaksanaan digitalisasi ini, kos kerajaan dapat dikurangkan serta beban kerja kakitangan dapat diringankan.
Selain itu, bermula bulan hadapan, Jabatan Imigresen juga akan memperkenalkan Pas Pelabur untuk memudahkan urusan perniagaan serta pelaburan bagi pelabur asing menerusi sistem pas elektronik.