BESERI, 6 Mac-Sebanyak 2,499 buah koperasi sekolah di seluruh negara berjaya menyumbang RM326.58 juta melalui perolehan perniagaan sehingga 30 Jun 2024 dengan jumlah keahlian seramai 2.087 juta orang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Datuk Rusli Jaafar, peningkatan perolehan oleh koperasi sekolah seluruh negara secara tidak langsung menyumbang kepada pemilikan aset oleh koperasi sekolah.
Gerakan Koperasi Sekolah sehingga kini memiliki aset berjumlah RM469,560,000, manakala bagi negeri Perlis sahaja mencatatkan sebanyak RM4,790,000.
Selain itu, terdapat 35 koperasi sekolah berjaya mencapai perolehan perniagaan lebih RM1 juta dimana membuktikan bahawa koperasi sekolah boleh dimanfaatkan bagi meningkatkan sosioekonomi warga sekolah.
‘’Kita menggalakkan lagi lah. Setakat ini kita tak adalah usaha kita nak tetapkan KPI tu. Kita belum tetapkan sasaran tapi Insya-Allah sebab kalau berbanding dengan 35 dengan 2,500, angka tu agak jauh.’’
‘’Tapi kita berusaha lah, tapi bagi sayalah penekanan kepada sahsiah, pendidikan kepada pelajar tu lebih penting dimana mereka ini akan diharap menjadi barisan pelapis lah untuk gerakan koperasi di peringkat dewasa apabila mereka keluar daripada alam sekolah\”, katanya demikian kepada media pada Program Pengukuhan dan Pemantapan Koperasi Sekolah Negeri Perlis Tahun 2025 di Maktab Rendah Sains MARA, di sini.
Bersempena dengan program itu juga, Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut menyerahkan barangan keperluan persekolahan kepada 165 penerima yang merupakan anggota koperasi sekolah dari kalangan keluarga kurang berkemampuan di bawah program tanggungjawab sosial korporat. (CSR).
Sepanjang 2024, Suruhanjaya Koperasi Malaysia turut menyalurkan bantuan menerusi Kumpulan Wang Amanah Pembangunan bagi menggerakkan operasi koperasi sekolah berjumlah RM1,334,700 dalam usaha meningkatkan perolehan koperasi.