ALOR SETAR, 20 Februari- Pelajar Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai, Negeri Sembilan, Muhammad Ammar Mukhlis Abdul Mohsin 27 tahun dari Kota Setar dinobatkan sebagai Johan Qari Tilawah Al-Quran dan Hafazan, Peringkat Negeri Kedah tahun 1446 Hijrah/2025 Masehi.
Manakala Nurul Husna Sharif, 31 tahun dari daerah Yan, menyandang Johan Qariah pada majlis yang berlangsung di sini, malam tadi.
Mereka masing-masing membawa pulang piala pusingan, sijil penghargaan dan wang tunai RM10,000 setiap seorang.
Sementara itu Johan Hafazan Juzuk 1 hingga 30 dan Tafsir kategori lelaki pula disandang , Muhamad Abir Alwi Al Haddad Muhamad, 21 tahun, pelajar Institut Al Quran Darulaman, Alor Setar
Bagi kategori perempuan disandang Nurul Husna Abdul Aziz, 24 tahun merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Rinting 3, Johor Bahru.
Mereka menerima wang tunai RM10,000, hadiah iringan dan sijil penghargaan.
Majlis penyampaian hadiah kemenangan disempurnakan Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.
Kesemua pemenang akan mewakili negeri Kedah ke peringkat kebangsaan pada Majlis Tilawah Al Quran dan Hafazan yang berlangsung di Kangar, Perlis pada April depan.