Home Ekonomi SFZ buka peluang pertumbuhan sektor kewangan
Ekonomi

SFZ buka peluang pertumbuhan sektor kewangan

SFZ buka peluang pertumbuhan sektor kewangan

BANGUNAN Pusat Kewangan Forest City Fasa 1 yang
turut dikenali sebagai Menara Carnelian adalah
sebuah kompleks perniagaan antarabangsa.

PETALING JAYA: Zon Kewangan Khas Forest City (SFZ) memberikan peluang pertumbuhan yang menarik untuk sektor kewangan kerana bank memainkan peranan penting dalam memacu integrasi kewangan rentas sempadan dan pengembangan ekonomi, kata TA Securities Holdings Berhad.

Ketua Penyelidiknya, Kaladher Govindan berkata, pihaknya melihat penubuhan SFZ sebagai langkah penting ke arah menjadi hab kewangan serantau, didorong lokasinya yang strategik di Asia Tenggara.

Katanya, dekat dengan Singapura iaitu hab kewangan terkemuka di peringkat serantau dan global, meletakkan SFZ sebagai pelengkap semula jadi kepada sektor kewangan Singapura yang mantap.

“Ini boleh mendorong limpahan permintaan untuk pelaburan dan perkhidmatan kewangan. Selain itu, lokasinya dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mengukuhkan potensinya untuk integrasi ekonomi dan membolehkannya memanfaatkan potensi pertumbuhan JS-SEZ.

“Kami ambil perhatian bahawa SFZ menawarkan beberapa faedah strategik yang menjadikannya hab kewangan yang menarik. Satu daripada ciri menonjolnya adalah fleksibiliti pertukaran asing, yang membenarkan pinjaman luar pesisir tanpa had dalam mata wang asing dan pelaburan dalam aset mata wang asing.

“Ia juga menyediakan insentif yang kukuh untuk aktiviti yang dipacu kemampanan dan pakej cukai yang menarik, mewujudkan persekitaran yang menyokong untuk pelbagai perkhidmatan kewangan, termasuk firma fintech dan pejabat keluarga,” katanya dalam nota penyelidikan.

Kaladher berkata, pihaknya percaya langkah-langkah ini boleh membantu menarik individu bernilai tinggi hingga sangat tinggi.

Sementara itu, beliau berkata, kadar cukai keutamaan untuk pakar yang kembali dan pekerja berpengetahuan boleh membantu memperdalam kumpulan bakat tempatan dan mengurangkan ‘brain drain’, sekali gus mengukuhkan lagi ekosistem kewangan SFZ.

Beliau berkata, pihaknya mengekalkan penarafan ‘overweight’ terhadap sektor perbankan dan menyesorkan tiga bank sebagai pilihan utama iaitu Public Bank Berhad, CIMB Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad (Maybank).

“Kami jangka bank-bank ini akan berada di barisan hadapan untuk mendapat manfaat daripada peningkatan dalam perbelanjaan domestik, prospek ekonomi yang kukuh, pelaburan yang teguh dan aktiviti modal yang meningkat.

“Walau bagaimanapun, kami juga mempunyai syor ‘beli’ untuk AMMB Holdings Berhad, Hong Leong Bank, RHB Bank, Affin Bank dan Alliance Bank,” jelasnya. – UTUSAN

Related Articles

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar
Ekonomi

Hektar REIT, Samaiden perkenal inisiatif kemampanan melalui tenaga solar

ZAINAL Iskandar Ismail (tiga dari kiri) bersama Chow Pur Hee (empat dari...

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV
Ekonomi

Pro-Net tingkat aksesibiliti poin pengecas EV

ZHANG Qiang (tengah) pada majlis menandatangani perjanjian di Centre of Excellence Proton...

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog
Ekonomi

Uniten, GMT tubuh makmal geoteknolog

KHAIRUL (empat dari kiri) dan Mustapha (empat dari kanan) pada majlis pemeteraian...

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR
Ekonomi

MAB Academy terima anugerah IATA dalam penggunaan VR

AIDA Salfaraz Ahmad Fadzil mewakili MAB Academy menerima Anugerah Inovasi Pusat Latihan...