KUALA LUMPUR, 29 Januari – Ketidakstabilan pasaran susulan kemunculan model kecerdasan buatan (AI) baharu, Deepseek, disifatkan sebagai reaksi kejutan jangka pendek.
Ketua Perhubungan Pelabur, Strategi Korporat MBSB, Azharuddin Nordin berkata situasi itu lazim berlaku akibat tindak balas segera pelabur terhadap perubahan dalam landskap teknologi.
Menurutnya, walaupun Deepseek mungkin mencetuskan cabaran dalam tempoh terdekat, ia turut menawarkan manfaat jangka panjang kepada Malaysia, termasuk peluang pelaburan baharu.
“Malaysia boleh membangunkan tenaga kerja mahir dalam AI serta menjadi hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi mendorong inovasi dalam sektor ini,” katanya kepada RTM.
Ketidaktentuan pasaran global telah meningkatkan tekanan jualan ke atas indeks utama FBM KLCI, menyaksikan bursa tempatan ditutup rendah semalam.
Pengenalan Deepseek oleh sebuah syarikat pemula dari China turut mencetuskan penjualan besar-besaran saham teknologi di Wall Street pada Isnin, menyebabkan Nvidia, pembuat cip utama dari Amerika Syarikat, mengalami kerugian terbesar dalam sejarah, dengan nilai pasarannya susut hampir AS$600 bilion.