KUALA LUMPUR, 17 Januari – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup kebanyakannya lebih tinggi pada Jumaat, walaupun berdepan tekanan berikutan permintaan yang agak lemah.
Ketua Penyelidikan Komoditi Sunvin Group dari Mumbai, Anilkumar Bagani berkata prestasi eksport minyak sawit Malaysia yang tidak bermaya dalam separuh pertama Januari turut menjejaskan sentimen.
Data oleh juruukur kargo Intertek Testing Services and Amspec Agri Malaysia menunjukkan bahawa eksport minyak sawit Malaysia bagi tempoh 1 hingga 15 Januari berada pada 567,703 tan, turun 15.45 peratus, dan 503,813 tan, masing-masing susut 23.74 peratus daripada angka 1 hingga 15 Nov.
Dari segi pengeluaran, Persatuan Pengilang Minyak Sawit Semenanjung Selatan menganggarkan penurunan 10 peratus dalam pengeluaran pada asas dari bulan ke bulan.
Sementara itu, peniaga minyak sawit David Ng berkata pasaran hadapan MSM mencatatkan kembali keuntungan susulan lantunan semula harga minyak kacang soya pada waktu Asia.
Katanya, jangkaan kadar pengeluaran yang lebih perlahan pada minggu-minggu akan datang juga dilihat sebagai faktor yang menyokong sentimen.
“Kami melihat sokongan harga pada RM4,100 satu tan dan rintangan pada RM4,400 satu tan,” katanya kepada Bernama.
Pada penutup, bulan kontrak baharu Februari 2025 turun RM30 kepada RM4,441 satu tan dan kontrak Mac 2025 berkurangan sebanyak RM18 kepada RM4,280 satu tan.
Bagaimanapun, April 2025 naik RM4 kepada RM4,190 satu tan, Mei 2025 meningkat RM23 kepada RM4,122 satu tan, Jun 2025 menokok RM37 kepada RM4,088 satu tan dan Julai 2025 bertambah RM34 kepada RM4,070 satu tan.
Jumlah dagangan menyusut kepada 92,079 lot berbanding 97,149 lot yang disaksikan semalam, manakala kepentingan terbuka jatuh kepada 223,575 kontrak daripada 224,569.
Harga MSM fizikal bagi Januari Selatan berkurangan sebanyak RM30 kepada RM4,650 satu tan. – Livevartha