Saturday , 28 December 2024
Home Ekonomi Bank Islam sasar RM28b pembiayaan mampan pada 2025
Ekonomi

Bank Islam sasar RM28b pembiayaan mampan pada 2025

Bank Islam sasar RM28b pembiayaan mampan pada 2025

MENARA Bank Islam

PETALING JAYA: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Mohd. Muazzam Mohamed berkata, komitmen bank terhadap kewangan hijau bukan sekadar pematuhan kawal selia tetapi usaha juga mewujudkan perubahan positif yang akan membentuk ekonomi Malaysia untuk generasi akan datang.

“Dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri penting demi masa depan Malaysia, seperti tenaga boleh diperbaharui dan pembuatan, tetapi juga memastikan kami melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan.

Bank berkata, sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh syariah, Bank Islam bertekad untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia, di samping mencipta impak berpanjangan terhadap perniagaan, masyarakat dan alam sekitar. 

“Komitmen Bank Islam terhadap kemampanan dibuktikan melalui kejayaannya dalam pembiayaan hijau. Pada September 2024, Bank Islam telah melepasi sasaran awal RM4 bilion dengan mencatatkan RM4.8 bilion dalam pembiayaan hijau.

“Angka berkenaan jauh mendahului sasaran 2025 yang ditetapkan serta menonjolkan peranan bank dalam memacu ekonomi hijau negara. 

“Selaras dengan kejayaan ini, Bank Islam telah menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025,” ujarnya.

Jelasnya, satu daripada elemen utama dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) yang dilancarkan pada 2023. 

“ISIA merupakan pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan pelbagai aset bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip (CCPT) Bank Negara Malaysia.

“Melalui ISIA, Bank Islam membuka peluang pelaburan dalam sektor penting seperti tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan mesra alam, pembiayaan hijau, air bersih dan sanitasi serta pembangunan bandar mampan. 

“Inisiatif ini membolehkan pelabur menyumbang kepada ekonomi hijau yang berimpak tinggi, serta memupuk ekonomi yang mesra alam dan memastikan ekosistem yang inklusif,” jelasnya.

Tambahnya, Bank Islam turut memberi tumpuan dan menyokong peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih dengan membiayai projek tenaga boleh diperbaharui seperti solar dan hidro.

“Usaha ini seiring dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

“Penglibatan aktif Bank Islam dalam sektor ini, termasuk sektor penting seperti pembuatan dan perladangan mencerminkan komitmennya terhadap pembangunan mampan negara, pada masa sama, selaras dengan piawaian kawal selia global dan amalan terbaik industri,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil susulan operasi BNM
Ekonomi

Kadar antara bank jangka pendek dijangka kekal stabil susulan operasi BNM

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 28 Disember – Kadar antara bank jangka pendek...

Kenaikan tarif elektrik bantu TNB tingkat infrastruktur tenaga
Ekonomi

Kenaikan tarif elektrik bantu TNB tingkat infrastruktur tenaga

Arang batu dan gas merupakan dua bahan api utama dalam penjanaan elektrik...

Ekonomi

Niaga hadapan emas ditutup tinggi sedikit

Foto HiasanKUALA LUMPUR, 27 Disember- Niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives...

Ekonomi

Ringgit catat perubahan kecil berbanding dolar AS

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 27 Disember- Ringgit terus memaparkan momentum dengan mencatat perubahan...