Thursday , 26 December 2024
Home Ekonomi Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi dalam lima tahun iaitu sebanyak 5.75 sen seunit untuk dana utamanya, Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.

Syarikat pengurusan unit amanah milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) itu berkata, jumlah tersebut terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.5 sen seunit dan bonus sebanyak 0.25 sen seunit.

Pembayaran dividen tahun ini adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit pada 2023, menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.

“Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan bagi 2024 adalah sebanyak RM10.1 bilion yang akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.

“ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.

“Bilangan akaun ASB meningkat 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan bumiputera dalam perancangan kewangan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Raja Arshad Raja Tun Uda berkata, pihaknya berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.

“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi.

“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif,” ujarnya.

Beliau berkata, ini disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif Madani kerajaan.

“Ini termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” ujarnya.

Prestasi ASB yang lebih baik ini adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit.

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia berkembang sebanyak 5.3 peratus pada suku ketiga 2024, berbanding 3.3 peratus pada suku ketiga 2023, dengan sektor utama seperti perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan menyumbang dengan ketara dan pengukuhan ringgit yang meningkat 14.9 peratus dari awal tahun sehingga November 2024 (YTD).

Susulan itu, Bursa Malaysia KLCI meningkat 10.0 peratus YTD selepas berhadapan sedekad prestasi lemah dengan 10 tahun KLCI sehingga 31 Disember 2023 sebanyak -22.1 peratus.

Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana tersebut.

Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.

Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024.

Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025. – UTUSAN

Related Articles

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 24 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Trend positif pasaran ekuiti dorong dividen ASB tertinggi sejak 2018

Ketua Perhubungan Pelabur Strategi Korporat MBSB, Azharuddin NordinKUALA LUMPUR, 24 Disember –...

Ekonomi

PNB umum dividen ASB 5.75 sen seunit, paling tinggi dalam lima tahun

Foto FB PNBKUALA LUMPUR, 24 Disember– Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), umum...