KLUANG, 21 Disember – Sebanyak tujuh projek perumahan yang dikategorikan sebagai sakit dan terbengkalai di negeri ini berjaya diselesaikan melibatkan nilai hartanah kira-kira RM700 juta.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, berkata penyelesaian tersebut memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 pemilik rumah.
Antara projek yang telah diselesaikan termasuk Residensi Larkin Indah dan Taman Sri Molek Perdana di Plentong, Johor Bahru, serta Taman Sri Saujana di Kota Tinggi.
\”Kita akan membantu menyelesaikan projek sakit ini sekiranya dia (pemaju) memang berniat nak selesaikan dan datang pada kerajaan … tetapi kalau pemaju ini tiada niat untuk selesaikan, kita di peringkat kerajaan negeri tidak boleh buat apa-apa.
\”Perjanjian pembinaan (perumahan) adalah antara pemaju, kontraktor dan pembeli serta bank … sebenarnya kerajaan negeri tidak terbabit tetapi kita alu-alukan jika mereka perlukan bantuan kita (kerajaan),\” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Taman Puterimas Fasa 2, di sini pada Sabtu.
Beliau juga memaklumkan terdapat tiga lagi projek sakit yang dijangka akan diselesaikan pada tahun hadapan.