GURUN, 20 Disember- Seorang pelajar maut manakala sembilan yang lain cedera dalam kemalangan membabitkan 10 buah motosikal di Kilometer 79.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran di sini, Kedah, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Wan Azharuddin Wan Ismail berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 12.10 tengah malam apabila lima motosikal sedang bergerak dari arah Gurun menghala ke Alor Setar.
Mangsa, Muhammad Amirul Ahmad, 20, yang menunggang motosikal dari arah belakang dikatakan masuk di celah antara lima motosikal tersebut sebelum berlaku geselan hingga menyebabkan keenam-enam motosikal terbabas ke lorong kiri.
\”Empat lagi motosikal yang datang dari arah belakang kemudian tidak sempat mengelak dan berlanggar sesama sendiri sebelum terjatuh atas jalan raya,\” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata Muhammad Amirul disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada beberapa bahagian badan.
Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani untuk proses bedah siasat.
Kesemua penunggang motosikal lain yang cedera berusia antara 16 hingga 20 tahun telah dibawa ke Hospital Pendang dan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
\”Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada kegagalan mangsa mengawal motosikalnya sehingga menyebabkan perlanggaran,\” katanya lagi.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Kemalangan membabitkan 10 buah motosikal di Kilometer 79.2 Lebuhraya Utara-Selatan (arah utara) berhampiran di Gurun awal pagi tadi