Wednesday , 25 December 2024
Home Ekonomi Harga minyak sawit kekal tinggi purata RM4,600 pada 2025
Ekonomi

Harga minyak sawit kekal tinggi purata RM4,600 pada 2025

Harga minyak sawit kekal tinggi purata RM4,600 pada 2025

SEORANG pekerja memunggah buah sawit yang telah dipetik dengan hasil eksport minyak dan produk sawit ke China tahun ini, dijangka meningkat. – GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA: Harga minyak sawit dijangka kekal tinggi dengan purata RM4,600 bagi setiap tan pada 2025 berbanding RM4,200 setiap tan pada 2024 disebabkan kekangan bekalan global, kata Malaysian Rating Corporation Bhd (MARC Ratings).

Agensi penarafan itu berkata, ia juga adalah disebabkan pengurangan esport daripada pengeluar minyak sawit terbesar, Indonesia serta cuaca buruk baru-baru ini di Malaysia.

Menurutnya, harga minyak sawit dijangka menghadapi tekanan dalam tempoh terdekat berikutan kekangan bekalan, penurunan pengeluaran bermusim dan pengurangan inventori dengan pengeluaran biasanya memuncak pada September atau Oktober sebelum berkurangan pada suku pertama tahun berikutnya.

“Memandangkan kelapa sawit adalah tanaman yang sensitif terhadap cuaca, pengeluaran minyak sawit akan menghadapi kekangan akibat keadan cuaca basah yang berterusan, yang telah menyebabkan banjir di negeri pengeluaran utama.

Jabatan Meteorologi Malaysia meramalkan aliran hujan yang tinggi ini akan berterusan sekurang-kurangnya hingga suku pertama 2025, dengan potensi untuk keadaan cuaca La Nina,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

MARC Ratings berkata, dari segi permintaan, mandat biodiesel, penggunaan minyak makan yang meningkat dan faktor geopolitik yang memberi kesan kepada minyak pengganti berkemungkinan menyokong peningkatan harga.

Katanya, permintaan minyak sawit dalam pengeluaran biodiesel kekal teguh, disokong oleh mandat dasar di Indonesia.

“Kadar campuran biodiesel ditetapkan untuk meningkat kepada 40 peratus (B40) pada 2025 daripada 35 peratus semasa (B35), dengan rancangan selanjutnya untuk meningkatkannya kepada 50 peratus (B50).

“Persatuan Minyak Sawit Indonesia (GAPKI) menganggarkan, untuk mencapai B40 memerlukan tambahan 1.7 juta tan minyak sawit, manakala mencapai B50 boleh memacu permintaan lebih tinggi dengan tambahan 5 juta tan.

“Peningkatan ini menekankan peranan biodiesel yang semakin meningkat sebagai pemacu penggunaan minyak sawit,” katanya.
Sementara itu, katanya, pengganti utama minyak sawit, seperti minyak bunga matahari dan minyak biji sesawi, mungkin menghadapi kekangan bekalan, menjadikan harga yang lebih tinggi.

Agensi tu berkata, keadaan cuaca yang lebih kering daripada kebiasaan di wilayah pengeluar utama, termasuk Kanada, Ukraine dan Rusia, berkemungkinan memberi kesan kepada pengeluaran.

Selain itu, konflik Rusia-Ukraine yang berterusan terus mengganggu bekalan minyak bunga matahari global, mengekalkan inventori yang ketat.

Pengeluaran minyak bunga matahari diunjurkan berkurangan kepada kira-kira 20 juta tan pada 2025 daripada 22.1 juta tan pada 2024, katanya. – UTUSAN

Related Articles

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...

Ekonomi

Niaga hadapan MSM ditutup bercampur-campur

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 24 Disember- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM)...

Ekonomi

Trend positif pasaran ekuiti dorong dividen ASB tertinggi sejak 2018

Ketua Perhubungan Pelabur Strategi Korporat MBSB, Azharuddin NordinKUALA LUMPUR, 24 Disember –...