KUALA LUMPUR, 12 Dis (Livevartha) — Bursa Malaysia bergelut untuk mengekalkan momentum positifnya sepanjang hari dan ditutup rendah sedikit hari ini berikutan jualan lewat dagangan, meskipun prestasi memberangsangkan di pasaran serantau.
Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 1.12 mata atau 0.07 peratus kepada 1,602.08 daripada paras penutup 1,603.20 pada Rabu.
Indeks utama itu dibuka rendah turun 1.37 mata kepada 1,601.83 dan bergerak antara paras 1,597.12 dan 1,605.95 sepanjang hari dagangan.
Suasana pasaran negatif apabila kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 548 berbanding 466, manakala 541 kaunter tidak berubah, 923 tidak diniagakan dan 39 digantung.
Jumlah dagangan meningkat kepada 3.32 bilion unit bernilai RM2.53 bilion daripada 2.59 bilion unit bernilai RM2.46 bilion pada Rabu.
Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata pergerakan kecil FBM KLCI membayangkan pelabur mungkin mengubah kedudukan portfolio mereka atau mengelak daripada melakukan banyak dagangan memandangkan ketiadaan pemangkin jelas dalam pasaran.
\”Sentimen neutral atau berhati-hati ketika ini mungkin dipengaruhi oleh keadaan tidak menentu yang semakin meningkat,\” katanya kepada Livevartha.
Beliau berkata data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang diumumkan semalam membayangkan kemungkinan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengurangkan kadar faedahnya dalam mesyuaratnya minggu depan.
“Bagaimanapun, pelabur kelihatan cenderung untuk menunggu pengesahan perkara itu selepas pengumuman Fed dan tidak terlibat dalam aktiviti spekulatif,\” katanya.