Thursday , 12 December 2024
Home Nasional Parlimen: Hala tuju industri francais, status Ombudsman antara tumpuan hari ini
Nasional

Parlimen: Hala tuju industri francais, status Ombudsman antara tumpuan hari ini

Parlimen: Hala tuju industri francais, status Ombudsman antara tumpuan hari ini

PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 12 Disember- Hala tuju pembangunan industri francais, pengagihan bantuan kepada petani terjejas banjir serta status penubuhan Ombudsman Malaysia, antara perkara yang akan dibincangkan pada hari terakhir persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, Young Syefura Othman (PH-Bentong) meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan statistik usahawan francais pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Young Syefura juga ingin tahu mengenai hala tuju pembangunan industri berkenaan melalui penyelarasan dan kawal selia oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ke persada antarabangsa, berikutan Malaysia sebagai pengerusi Mesyuarat Tahunan Asia Pacific Franchise Confederation (APFC).

Dalam sesi sama, Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) mengemukakan soalan kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, mengenai mekanisme pengagihan bantuan dirancang kementerian itu untuk memastikan petani terjejas akibat banjir benar-benar mendapat bantuan tanpa penangguhan.

Idris turut bertanya mengenai langkah kerajaan dalam menangani isu kemungkinan ketirisan atau ketidakadilan dalam proses pemberian bantuan.

Pada sesi soal jawab pula, Teresa Kok Suh Sim (PH-Seputeh) meminta Perdana Menteri menyatakan status penubuhan Ombudsman Malaysia dan garis masa yang ditetapkan bagi pelaksanaan usaha berkenaan.

Turut menarik perhatian, Lee Chean Chung (PH-Petaling Jaya) akan bertanya kepada Menteri Pendidikan antaranya berhubung perancangan kementerian itu untuk menjadikan pembelajaran Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) lebih menarik untuk pelajar sekolah.

Usai sesi berkenaan, Dewan Rakyat diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA) (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Majlis Media Malaysia, masing-masing bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Komunikasi.

Persidangan juga dijadual membentangkan Rang Undang-Undang Industri Perkhidmatan Air (Pindaan) 2024, Rang Undang-Undang Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2024 dan Rang Undang-Undang Perkongsian Data 2024, masing-masing bagi bacaan kali kedua.

Persidangan Dewan Rakyat akan melabuhkan tirainya hari ini selepas bersidang selama 35 hari bermula 14 Oktober. -BERNAMA

Related Articles

Pahang hantar sukarelawan ke Kelantan, bantu misi pascabanjir
Nasional

Pahang hantar sukarelawan ke Kelantan, bantu misi pascabanjir

Foto FB Menteri Besar PahangKUANTAN, 12 Disember– Kerajaan Pahang mengambil inisiatif untuk...

Harap ibu pejabat baharu MOM tingkat prestasi atlet negara – TPM
Nasional

Harap ibu pejabat baharu MOM tingkat prestasi atlet negara – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berucap pada malam...

Malaysia sambut baik keputusan UNGA berkaitan hak asasi mutlak rakyat Palestin
Nasional

Malaysia sambut baik keputusan UNGA berkaitan hak asasi mutlak rakyat Palestin

WISMA PUTRAPUTRAJAYA, 12 Disember- Malaysia mengalu-alukan dua resolusi berkaitan hak asasi mutlak...

Banjir: Terengganu meningkat, tiga negeri tidak berubah pagi ini
Nasional

Banjir: Terengganu meningkat, tiga negeri tidak berubah pagi ini

Bantuan penghantaran kit makanan daripada pihak Istana Syarqiyyah ke PPS/APM KemamanKUALA LUMPUR,...