SEPANG, 8 Disember– Sebuah pesawat kargo khas dari Pakistan yang membawa bantuan peringkat pertama untuk penduduk terjejas banjir di Malaysia telah selamat tiba di tanah air hari ini.
Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia, Syed Ahsan Raza Shah mewakili Kerajaan Pakistan menyampaikan sumbangan berkenaan kepada Malaysia yang melibatkan pelbagai keperluan asas.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Meor Ismail Meor Akim memaklumkan bahawa sumbangan itu berjumlah 80 tan dan dihantar dalam dua fasa.
\”Hari ini, kita menerima 40 tan barangan seperti khemah keluarga, selimut, jaket, beg tidur, tikar dan lain-lain. Semua barangan ini akan dihantar ke Depoh Simpanan NADMA di Subang.
\”Pesawat kedua dijangka tiba pada 11 Disember ini dengan baki 40 tan,\” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Menurut beliau, pengagihan sumbangan akan ditentukan selepas mesyuarat koordinasi diadakan untuk memastikan ia sampai kepada golongan yang memerlukan.
Beliau turut menyifatkan bantuan daripada Kerajaan Pakistan itu sebagai bukti hubungan persahabatan yang erat antara kedua-dua negara.
Bantuan berupa pelbagai keperluan asas yang disumbangkan oleh Pakistan kepada Malaysia yang terjejas banjir di beberapa negeri ketika ini/RTM