KOTA KINABALU, 7 Disember- Kerajaan Persekutuan akan mempertingkatkan pelaksanaan projek pembangunan di Sabah pada tahun hadapan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata langkah itu bertujuan memastikan lebih banyak projek, khususnya melibatkan infrastruktur kemudahan rakyat di negeri itu, dapat disiapkan mengikut jadual.
Sehubungan itu, satu jawatankuasa pemantau telah ditubuhkan.
\”Jadi, sebab itu kita nak memastikan peruntukan yang diluluskan dapat melaksanakan projek dengan baik supaya ia dapat disiapkan, bukan sahaja untuk ekonomi negeri Sabah tetapi yang lebih penting, bagi memastikan kemudahan kepada rakyat dapat disempurnakan sebaik mungkintermasuk sekolah, hospital, klinik, dan lain-lain.
\”Oleh itu, fokus kita pada tahun hadapan adalah pelaksanaan yang akan dipantau secara rapi, termasuk menyelesaikan apa sahaja masalah seperti isu tanah dan lain-lain,\” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air memaklumkan perkara tersebut selepas menyaksikan penyerahan enam projek siap melibatkan peruntukan Kerajaan Persekutuan bernilai RM65.5 juta kepada Sabah.