KUALA LUMPUR, 8 Disember-Jumlah penduduk terjejas banjir di enam negeri terus menunjukkan penurunan setakat pukul 6.00 pagi tadi.
Portal info bencana Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) merekodkan seramai 3,808 penduduk daripada 1,107 keluarga masih berlindung di 27 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Di Kelantan, empat PPS masih beroperasi di negeri berkenaan menempatkan 2,268 penduduk terjejas.
Tumpat masih mencatatkan jumlah penduduk terjejas tertinggi dengan 2,199 daripada 634 keluarga ditempatkan di tiga PPS.
Public info banjir Jabatan Pengairan dan Saliran pula melaporkan Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat kekal melepasi paras bahaya.
Di Kedah, jumlah penduduk terjejas banjir berkurangan kepada 908 orang daripada 263 keluarga menyaksikan hanya empat PPS di buka di Kota Setar dan Kubang Pasu.
Di Melaka, situasi banjir yang semakin pulih di negeri berkenaan menyaksikan hanya Jasin masih lagi merekodkan bilangan penduduk terjejas banjir dengan 92 orang daripada 23 keluarga di dua PPS.
Di Johor, jumlah mangsa banjir masih tidak berubah dengan 409 penduduk terjejas di tiga daerah iaitu Tangkak, Segamat, dan Batu Pahat masih berlindung di tiga PPS.
Daerah Segamat merekodkan bilangan penduduk terjejas paling ramai iaitu kira-kira 276 penduduk daripada 84 keluarga.
Di Perak, bilangan penduduk terjejas banjir 131 orang daripada empat PPS dibuka.
Daerah Kinta merekodkan 92 mangsa daripada 31 keluarga berlindung di dua PPS.
Di Sabah, 61 penduduk terjejas banjir direkodkan di Kota Kinabalu dengan hanya satu PPS dibuka.
Sementara itu, Jabatan Meterologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan gelombang kedua banjir dalam tempoh dua minggu bermula hari ini (Ahad), dengan Pahang dan Johor antara negeri yang dijangka turut terjejas dengan bencana itu kali ini.