Home Ekonomi Ringgit ditutup tinggi, cerminkan trend serantau
Ekonomi

Ringgit ditutup tinggi, cerminkan trend serantau

Ringgit ditutup tinggi, cerminkan trend serantau

FOTO HIASAN

KUALA LUMPUR, 29 November- Ringgit ditutup tinggi berbanding dolar AS pada hari dagangan terakhir bulan ini, mencerminkan pengukuhan beberapa mata wang serantau.

Pada 6.00 petang, mata wang tempatan naik kepada 4.4425/4495 berbanding dolar AS daripada 4.4440/4490 semalam.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit mengukuh menjelang hujung minggu, mencerminkan pergerakan yang menggalakkan dalam mata wang Asia yang lain.

“Pergerakan (forex Asia) ini didorong oleh keputusan Rizab Persekutuan (Fed) AS untuk tidak mencabar jangkaan pasaran mengenai penurunan kadar faedah, yang memberikan sentimen lemah kepada dolar.

“Sokongan tambahan daripada pasaran Perbendaharaan AS yang stabil, disokong oleh turun naik yang rendah susulan pencalonan Scott Bessent oleh bakal Presiden AS Donald Trump sebagai Setiausaha Perbendaharaan dan rundingan beliau baru-baru ini dengan Presiden Mexico mengenai isu sempadan,” katanya kepada Bernama.

Kenaikan mata wang Asia hari ini diterajui oleh yen Jepun, yang melonjak lebih 1 peratus berbanding dolar AS kepada paras tertinggi dalam tempoh enam minggu pada Jumaat, selepas inflasi di Tokyo yang lebih cepat daripada jangkaan menyokong spekulasi kenaikan kadar faedah oleh Bank of Japan bulan depan.

Ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding pound kepada 5.6384/6473 daripada 5.6217/6280, susut berbanding euro kepada 4.6899/6973 daripada 4.6800/6852 dan merosot berbanding yen Jepun kepada 2.9589/9638 daripada 2.9258/9293 semalam.

Mata wang tempatan turut diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.3146/3200 daripada 3.3056/3095, susut berbanding rupiah Indonesia kepada 280.2/280.8 daripada 279.9/280.5 dan berkurangan berbanding baht Thailand kepada 12.9459/9738 daripada 12.8999/9211.

Ia susut berbanding peso Filipina kepada 7.58/7.59 daripada 7.57/7.58. -Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Dolar AS rendah dorong ringgit dibuka tinggi

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 25 April- Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS pada...

Inflasi dijangka kekal 2.4 peratus
Ekonomi

Inflasi dijangka kekal 2.4 peratus

INFLASI dijangka kekal 2.4 peratus tahun ini. – GAMBAR HIASANPETALING JAYA: Kadar...

OPR diunjur turun kepada 2.75 peratus Julai ini
Ekonomi

OPR diunjur turun kepada 2.75 peratus Julai ini

KADAR Dasar Semalaman (OPR) dijangka turun kepada 2.75 peratus pada Julai ini...

Ekonomi

Pasaran getah ditutup bercampur-campur ketika harga minyak mentah stabil

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 24 April– Pasaran getah Malaysia diniagakan bercampur-campur hari ini,...