KUALA LUMPUR, 24 November– Pemergian komposer veteran tanah air, Tan Sri Dr. Ahmad Nawab merupakan sebuah kehilangan permata yang tidak ternilai.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata pemergian seniman negara ketujuh itu jelas meninggalkan kesan bukan sahaja dalam kalangan penggiat industri malah peminat serta pendengar muzik tempatan.
Fahmi menerusi kenyataannya di Facebook menyifatkan sumbangan allahyarham dalam bidang seni terlalu besar.
Sejak era 1950an, Tan Sri Dr. Ahmad Nawab telah menggubah lebih 2,000 lagu, menghasilkan lebih 200 album serta melahirkan ramai nama besar dalam dunia seni suara.
Allahyarham juga pernah berkhidmat bersama Orkestra RTM (Radio Televisyen Malaysia) selama 17 tahun dan dianugerahkan gelaran Seniman Negara ketujuh pada 2006.
Fahmi dalam hantaran yang sama mewakili warga Kementerian Komunikasi mengutuskan ucapkan takziah kepada seluruh anggota keluarga allahyarham dan sahabat handai, khususnya dalam industri muzik.