Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad
KUALA LUMPUR, 22 Nov (Livevartha) — Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Jumaat, menjejaki prestasi lebih baik di Wall Street dalam tempoh semalaman yang disokong oleh pendapatan kukuh Nvidia.
Pada pukul 9.11 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 3.00 mata kepada 1,591.68 daripada 1,588.68 ketika ditutup semalam.
Indeks penanda aras itu dibuka 4.36 mata lebih tinggi kepada 1,593.04.
Keseluruhan pasaran adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 205 berbanding 153, manakala 292 kaunter tidak berubah, 1,815 kaunter tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.
Jumlah dagangan mencecah 182.24 juta unit bernilai RM107.95 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata dagangan kekal tidak menentu apabila pelabur meneliti data ekonomi Amerika Syarikat (AS) terkini, yang menunjukkan penurunan mengejutkan bagi permohonan Tuntutan Pengangguran Awal.
“Purata Perindustrian Dow Jones meningkat 462 mata atau 1.1 peratus untuk ditutup pada 35,021. S&P 500 menokok 0.5 peratus, manakala Nasdaq naik sedikit di bawah 0.1 peratus.
“Di Hong Kong, bursa ditutup rendah berikutan beberapa syarikat melaporkan pendapatan yang kurang daripada jangkaan pasaran, mencetuskan penjualan bagi saham yang terjejas dan menyebabkan Indeks Hang Seng susut 0.53 peratus,” katanya kepada Livevartha.