Friday , 22 November 2024
Home Ekonomi Tempahan Airbnb naik 30 peratus pada separuh pertama 2024
Ekonomi

Tempahan Airbnb naik 30 peratus pada separuh pertama 2024

Tempahan Airbnb naik 30 peratus pada separuh pertama 2024

MICH GOH

KUALA LUMPUR: Data terkini daripada Airbnb menunjukkan peningkatan yang signifikan, dengan tempahan malam untuk penginapan di Malaysia meningkat sekitar 30 peratus tahun ke tahun pada separuh pertama 2024.

Pengarah Dasar Awam Airbnb untuk Asia Pasifik, Mich Goh berkata, kebangkitan semula sektor pelancongan memacu peningkatan ketara dalam pelancongan domestik dan antarabangsa di Malaysia.

“Menurut Bahagian Perancangan Strategik Tourism Malaysia, Malaysia mencatatkan kedatangan 16.45 juta pelawat sehingga Ogos lalu, yang menunjukkan peningkatan 29.5 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.

“Mengikut data terkini Airbnb, Kuala Lumpur kekal menjadi destinasi utama, menduduki tempat kedua sebagai bandar paling kerap dikunjungi di Asia Tenggara dalam tempoh tersebut.

“Walaupun sektor pelancongan antarabangsa berkembang pesat, pelancongan domestik masih menjadi tumpuan utama rakyat Malaysia.

“Destinasi-destinasi seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru, Petaling Jaya, Pulau Pinang dan Melaka kekal sebagai pilihan utama pengunjung domestik pada separuh pertama 2024,” katanya semasa sesi meja bulat “Memacu Pertumbuhan Pelancongan Malaysia: Perbincangan Meja Bulat Bersama Airbnb dan Pemain Industri Pelancongan” semalam.

Selain itu, jelas beliau, destinasi yang semakin popular dan kurang diterokai seperti Hulu Langat di Selangor dan Kinta di Perak juga muncul sebagai antara 10 bandar teratas yang paling kerap dikunjungi oleh penduduk tempatan pada 2023 dan separuh pertama 2024.

“Pelancongan kekal menjadi saluran penting untuk menyatukan keluarga dan rakan-rakan. Pelancongan secara berkumpulan yang melibatkan tiga orang atau lebih meningkat hampir 35 peratus tahun ke tahun pada suku pertama 2024.

“Data terkini Airbnb juga menunjukkan peningkatan pelancongan solo di Malaysia, dengan percutian solo mencatatkan kenaikan kira-kira 27 peratus pada 2024,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) berkata, jangkauan aplikasi DE Rantau telah meningkat dua kali ganda sejak dilancarkan pada 2022.

“Pada tahun lalu, kami menampung 100 aplikasi sebulan dan tahun ini naik kepada 200 sebulan, sekali gus menjadi sangat popular di kalangan pengguna

“Jangkauan aplikasi hari ini telah mendapat lebih daripada 2,000 bagi pasaran domestik digital. Mereka (pelancong) berada di sini dengan ahli keluarga mereka, di mana 40 peratus daripada mereka adalah ahli keluarga.

“Mereka menghabiskan AS$2,000 (kira-kira RM8,940.51) sebulan untuk perkhidmatan makanan, penjualan dan perkhidmatan pelancongan yang berkaitan dengan pelancongan dan sebahagian daripada itu dihabiskan untuk pendidikan dan pekerjaan serta anak-anak mereka.

“Jadi, ini adalah pasaran baharu yang sedang dicuba oleh MDEC dan bekerjasama dengan industri pelancongan Malaysia serta Menteri Pelancongan untuk memastikan Malaysia terus menjadi pilihan utama apabila mereka membuat keputusan di Asia Tenggara.

“Jika Malaysia mempunyai visa nomad ini, mereka akan dikenali sebagai ahli profesional di Malaysia,” katanya.

Airbnb dan MDEC mengumumkan kerjasama strategik di bawah inisiatif DE Rantau MDEC untuk memposisikan Malaysia sebagai hab utama bagi nomad digital di rantau ini. Sehingga kini, hampir 800 penginapan telah disahkan sebagai ‘Hab DE Rantau’ yang mesra nomad digital. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS diasak sentimen berhati-hati

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 21 November – Ringgit memulakan urus niaga Khamis...

Ekonomi

Ringgit meningkat berbanding Dolar AS

Foto hiasanKUALA LUMPUR, 20 November– Ringgit terus disokong dengan baik dan mengekalkan...

Ekonomi

MIDA bantu tarik pelaburan asing, tekan pendekatan ikut keperluan pelabur

Penganalisis Ekonomi, Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul RashidKUALA LUMPUR, 20 November–...

Ekonomi

Lawatan PM ke Brazil, cermin komitmen Malaysia perkukuh kerjasama serantau

Foto LivevarthaKUALA LUMPUR, 20 November– Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar...