LIMA, 17 November– Tindakan platform antarabangsa seperti Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang mula memberi perhatian terhadap isu Gaza merupakan petanda baik bahawa sifat kemanusiaan masih wujud.
Tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pemimpin dunia telah mula membuka mata dan menolak keganasan yang berlaku di bumi Palestin di pentas antarabangsa.
‘’Saya teruja, ini merupakan antara beberapa sesi APEC yang mengetengahkan apa yang sedang berlaku di dunia ini.
\”APEC kali ini menekankan penindasan nyata yang berlaku terhadap rakyat Gaza’’, katanya pada sesi intervensi Malaysia pada Pemukiman Pemimpin-pemimpin Ekonomi APEC di Peru.
Datuk Seri Anwar berkata tindakan yang diambil pemimpin dunia hari ini akan menentukan nasib generasi seterusnya.
Justeru, APEC perlu bangkit daripada hanya menjadi pengikut tren global dan menjadi pemimpin yang mencorak piawaian baru bagi mewujudkan rantau Asia Pasifik yang lebih inklusif, inivatif dan mapan.
‘’Masa untuk berubah adalah sekarang dan kita perlu bertindak dan melakukan perubahan\’, katanya.
Pertumbuhan ekonomi tidak seharusnya bergantung kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) semata-mata, sebaliknya ia juga perlu mengambil kira kesejahteraan penduduk dunia.