Thursday , 26 December 2024
Home Ekonomi Azam Jaya catat premium 28.2 peratus di Pasaran Utama
Ekonomi

Azam Jaya catat premium 28.2 peratus di Pasaran Utama

Azam Jaya catat premium 28.2 peratus di Pasaran Utama

KUALA LUMPUR: Syarikat pembinaan infrastruktur jalan raya utama yang berpangkalan di Sabah, Azam Jaya Bhd. memulakan penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada harga RM1 sesaham, premium sebanyak 28.2 peratus berbanding harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 78 sen. 

Pada pukul 9 pagi, kaunter itu menyaksikan sebanyak 5.12 juta saham bertukar tangan.

Pengarah Eksekutif Azam Jaya Berhad, Datuk Jessica Lo berkata, syarikat telah mengumpul sejumlah RM231.5 juta menerusi IPO itu.

Ujarnya, daripada jumlah itu, sebanyak RM8 juta atau 13 peratus diperuntukkan untuk meningkatkan keupayaan pembinaan dan kecekapan operasi dengan memperoleh jentera dan peralatan baharu serta peningkatan teknologi. 

“Di samping itu, sebanyak RM28.4 juta atau 46.2 peratus disediakan untuk tujuan modal kerja, RM20 juta atau 32.5 peratus diperuntukkan untuk pembayaran semula pinjaman bank dan RM5.1 juta atau 8.2 peratus akan digunakan untuk menanggung kos penyenaraian,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyenaraian syarikat itu, semalam.

Menurut beliau, syarikat merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada kontraktor luar dengan mengendalikan lebih banyak projek menggunakan sumber dalaman mereka, terutamanya projek Lebuhraya Pan Borneo.

“Kami mempunyai rancangan, terutamanya melibatkan Kalimantan dan Sarawak. Pada masa ini, kami tidak menyasarkan Semenanjung Malaysia, kerana ia agak sesak dengan pesaing.

“Jika margin yang baik tersedia, kami pasti akan mempertimbangkannya. Kami mempertimbangkan jentera kami ke sana (Kalimantan dan Sarawak) tidak akan terlalu rumit. 

“Kami juga berhasrat mengembangkan perniagaan ke Kalimantan, Indonesia dan memfokuskan di Borneo,” katanya.

Melangkah ke hadapan, Jessica berkata, Azam Jaya merancang untuk membuat bidaan bagi kerja tambahan di Lebuhraya Pan Borneo, Sabah.

“Terutamanya di kawasan Sabah, kami menyedari bahawa fasa dua dan tiga projek ini akan dilaksanakan tidak lama lagi, dan kami sudah bersedia untuk mengambil bahagian dalamnya,” katanya. 

Jelas Jessica, dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam industri, syarikat telah menyelesaikan lebih 50 projek dan menguasai sekitar 5.94 peratus pasaran. 

“Kami mempunyai kepakaran dalam pembinaan infrastruktur jalan raya berskala besar, termasuk jalan, lebuh raya, jambatan, tembok dan terowong. 

“Kami akan terus berusaha untuk mengurangkan pergantungan kami terhadap subkontraktor dengan membawa lebih banyak operasi ke dalam syarikat,” katanya. 

Sementara itu, Pengarah Alternatif dan Ketua Inovasi Kelestarian Azam Jaya Berhad, Datuk Johannes Lo Chaw Jack berkata, pihaknya juga sedang memperluas jentera pembinaan dan mengadaptasi teknologi canggih untuk meningkatkan produktiviti di tapak, memaksimumkan kecekapan dan mengurangkan kos.

“Kami berhasrat untuk mengambil bahagian dalam lebih banyak projek, terutamanya dalam pembangunan Pan Borneo, Sabah, untuk fasa dua dan fasa tiga akan datang dan kami sudah bersedia untuk menyertai peluang tersebut,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Ekonomi

Dividen ASB 2024, bukti ekonomi mengukuh – Penganalisis

Foto Kecil: Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad...

Ekonomi

Kerjasama blok ASEAN perkukuh cabaran geopolitik, ekonomi global

Datuk Ramesh KodammalKUALA LUMPUR, 25 Disember- Blok ASEAN perlu bersatu dan memperkukuh...

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan
Ekonomi

PNB komited tingkat simpanan, pelaburan pelanggan

KUALA LUMPUR: Permodalan Nasional Bhd. (PNB) menyasarkan untuk meningkatkan aset di bawah...

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun
Ekonomi

Dividen ASB 5.75 sen seunit, tertinggi dalam lima tahun

PETALING JAYA: Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan yang tertinggi...