Friday , 15 November 2024
Home Ekonomi Untung bersih Westports suku ketiga 2024 penuhi jangkaan
Ekonomi

Untung bersih Westports suku ketiga 2024 penuhi jangkaan

Untung bersih Westports suku ketiga 2024 penuhi jangkaan

PETALING JAYA: Westports Holdings Berhad (Westports) mencatat keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM230.9 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 dan prestasi itu memenuhi jangkaan awal, kata MIDF Research.

Firma penyelidikan itu berkata, jangkaan itu masing-masing merangkumi 76 peratus dan 77 peratus daripada unjuran penuh tahun Midf Research dan konsensus.

“Keuntungan PAT Westports itu telah menjadikan jumlah keseluruhan bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2024 kepada RM639.0 juta.

“Pada suku ketiga, jumlah kargo pintu masuk meningkat sebanyak 8.7 peratus berbanding tahun sebelumnya tahun ke tahun (YoY), tetapi ini diimbangi oleh penurunan 9.9 peratus dalam jumlah kargo pemindahan akibat penurunan pergerakan kontena kosong.

“Namun begitu, hasil kontena meningkat sebanyak 6.6 peratus YoY, didorong oleh perkhidmatan nilai tambah (VAS) yang menyumbang 24.6 peratus daripada keseluruhan hasil kontena berbanding 21.6 peratus pada suku kedua 2024.

“Hasil konvensional turut mencatat peningkatan ketara sebanyak 30.3 peratus YoY, dipacu oleh lonjakan 22 peratus YoY dalam segmen kargo pukal,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jelas MIDF Research, secara keseluruhan, PAT syarikat itu meningkat sebanyak 18.7 peratus tahun ke tahun.

“Secara sukuan, walaupun terdapat penurunan kecil dalam jumlah kontena (-1.1 peratus suku ke suku), PAT naik 13.3 peratus berbanding suku sebelumnya, hasil daripada sumbangan kukuh VAS dan pertumbuhan dalam jumlah konvensional (+14.0 peratus suku ke suku),” katanya.

Mengulas mengenai masa hadapan, firma itu berkata, pengurusan Westports menjangkakan jumlah kontena untuk tahun kewangan 2024 akan kekal stabil berikutan perubahan dalam kesesakan pemindahan dan keadaan pasaran suram.

“Ini adalah seiring dengan anggaran kami yang memproyeksikan pertumbuhan sebanyak 1.2 peratus YoY.

“Bagi tahun kewangan 2025, syarikat mengunjurkan pertumbuhan satu digit rendah, didorong oleh peningkatan jumlah kargo pintu masuk dan pemulihan dalam jumlah kargo pemindahan, di mana kami menganggarkan peningkatan sebanyak 3.3 peratus YoY.

“Jumlah kontena mungkin mencatat kenaikan sementara jika penghantaran kargo diatur lebih awal menjelang tarif perdagangan berikutan peralihan presiden Amerika Syarikat.

“Namun, kesannya bergantung pada skop tarif tersebut. Strategi ‘China + 1’ terus menjadi pemacu utama peningkatan kargo pintu masuk, khususnya dari industri kertas, kaca, dan solar,” katanya.

MIDF Research mengekalkan penilaian ‘neutral’ kepada syarikat itu.

Harga sasaran (TP) berdasarkan DCF kekal pada RM4.30 (WACC: 7.2 peratus, g: 3.0 peratus). – UTUSAN

Related Articles

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil
Ekonomi

Kadar jangka pendek antara bank ditutup stabil

BANK NEGARA MALAYSIAKUALA LUMPUR, 14 November– Kadar jangka pendek antara bank ditutup...

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS
Ekonomi

Niaga hadapan emas ditutup rendah berikutan pengukuhan dolar AS

FOTO HIASANKUALA LUMPUR, 14 November- Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia...

Ekonomi

Minyak transformer berupaya mengurangkan risiko kebakaran di pencawang elektrik

Ketua Pengarah MPOB, Datuk Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir / Foto RTMBANGI,...

Ekonomi

Lawatan rasmi PM ke Mesir jana potensi eksport RM4.8 bilion

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Persidangan Meja Bulat para...