Thursday , 14 November 2024
Home Politik Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera
Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee Wuen

KUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan FashionValet Sdn. Bhd. (FashionValet) adalah nilai yang sama boleh digunakan untuk membantu ratusan usahawan bumiputera di dalam negara ini.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr. Kelvin Yii Lee Wuen berkata, kerajaan perlu memperjelas bagaimana FashionValet boleh mendapat pelaburan daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah).

Sedangkan, kata beliau, syarikat-syarikat lain yang mempunyai potensi besar untuk berkembang dan memberi pulangan yang baik, tidak mendapat bantuan pelaburan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mahupun syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

“FashionValet mendapat suntikan bukan hanya RM1 ke RM2 juta tetapi lebih RM40 juta. Bagaimana jumlah ini ditentukan? Apakah proses penentuan kuantum yang diberikan? Alasan yang saya baca mengenai pelaburan ini adalah untuk memperkasa perniagaan bumiputera.

“Saya sokong sepenuhnya tetapi jika jumlah dana itu digunakan dengan baik, ia boleh memperkasa beratus-ratus syarikat bumiputera dan bukan bumiputera yang lain,” katanya semasa membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, Khazanah dan PNB hanya menerima hasil berjumlah RM3.1 juta hasil daripada penjualan saham dalam FashionValet.
Kementerian Kewangan memaklumkan, pada 2018, Khazanah dan PNB telah melabur sejumlah RM47 juta (Khazanah RM27 juta, PNB RM20 juta) untuk pegangan minoriti masing-masing dalam FashionValet.
Mengulas lanjut, Dr. Kelvin berkata, banyak syarikat pemula atau start-up yang diwujudkan oleh golongan belia lain terpaksa berhijrah ke luar negara untuk mendapatkan pembiayaan kerana dilayan seperti pengemis di dalam negara sendiri.

“Jadi apakah proses pemilihan? Supaya semua rakyat Malaysia menikmati suntikan (dana atau pelaburan dari kerajaan), bukan sahaja orang yang ada ‘cable’ atau geng elit sahaja menikmatinya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mempersoalkan ketiadaan pemantauan terhadap GLC dan GLIC yang menghadapi jumlah kerugian besar untuk bertahun lamanya.

“Kalau saya seorang pelabur, saya melabur satu jumlah yang besar takkan saya tidak memantau pelaburan saya dan biar rugi bertahun-tahun. Jadi apakah safeguard yang sepatutnya ada dalam pelaburan tersebut?

“Ini supaya untung, rugi pelaburan dapat dikawal. Malah, kita dapat memantau dan memberi nasihat kepada mereka. Takkan kita bagi lebih RM43 juta lalu membiarkan mereka buat sesuka hati mereka sahaja,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...

Politik

Kerjasama hadapi PRN Sabah perlu ambil kira sentimen ‘lokal’

MUSTAPHA SAKMUD PUTRAJAYA: Sebarang kerjasama yang bakal dibentuk menjelang Pilihan Raya Negeri...