Thursday , 14 November 2024
Home Ekonomi FBM KLCI dijangka meningkat minggu depan, dorongan faktor luaran
Ekonomi

FBM KLCI dijangka meningkat minggu depan, dorongan faktor luaran

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 9 November– FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka terus mencatatkan aliran meningkat minggu depan, meneruskan momentum positif yang dilihat pada minggu ini apabila ia diniagakan dalam julat 1,635 hingga 1,645 mata.

Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan berkata faktor luaran akan terus menyokong prestasi FBM KLCI.

“Perkembangan penting termasuk kemenangan Parti Republikan baru-baru ini dalam pilihan raya Amerika Syarikat (AS), jangkaan penurunan kadar faedah daripada Rizab Persekutuan AS dan Bank of England serta komitmen China yang berterusan terhadap dasar monetari yang menyokong mendorong pemulihan ekonomi.

“Walaupun faktor ini kini memberikan sokongan yang baik kepada indeks, penting untuk diambil perhatian bahawa reaksi pasaran terhadap keputusan pilihan raya lazimnya bersifat sementara,” katanya kepada Bernama.

Walaupun masih terlalu awal untuk menilai, Mohd Sedek berkata hala tuju dasar luar pentadbiran Trump yang akan datang dijangka mengekalkan kesinambungan dasar perdagangan yang memberi tumpuan kepada pengurangan kos dan kebolehcapaian tenaga pada harga wajar untuk industri AS.

“Walaupun langkah-langkah ini boleh mewujudkan risiko tertentu kepada pasaran global, ia sebahagian besarnya berada dalam jangkaan perniagaan berikutan ia telah dijangka awal sebelum pilihan raya.

\”Pasaran cenderung memberi reaksi negatif terhadap perkembangan yang tidak dijangka, justeru, selagi dasar ini kekal dalam parameter unjuran, sebarang impak negatif akan berkurangan,\” katanya.

Mohd Sedek juga berkata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akan mengeluarkan data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga 2024 pada Jumaat depan.

“Kami menjangka ia akan sejajar dengan anggaran awal sebanyak 5.3 peratus.

“Sebarang bacaan KDNK melebihi 5.0 peratus dijangka meningkatkan sentimen pelabur, mengukuhkan keyakinan terhadap daya tahan ekonomi Malaysia,” katanya.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berpendapat prospek pasaran saham minggu depan akan bergantung kepada petunjuk daripada landskap politik AS.

“Selepas wujud kestabilan, prospek pasaran akan menjadi lebih jelas. Dalam tempoh terdekat, kami menjangka momentum aliran meningkat yang lebih kukuh dan mengunjurkan indeks FBM KLCI akan turun naik dalam julat 1,610 hingga 1,640 minggu depan,” katanya.

Pada asas Jumaat kepada Jumaat, FBM KLCI menambah 17.26 mata kepada 1,621.24 daripada 1,603.98 pada minggu sebelumnya.

Indeks FBM Emas naik 137.52 mata kepada 12,265.86, Indeks FBM 70 meningkat 186.46 mata kepada 17,865.39 dan Indeks FBMT 100 menambah 126.67 mata kepada 11,966.46.

Indeks FBM Emas Shariah naik 129.36 mata kepada 12,231.80 dan Indeks FBM ACE menambah 148.57 mata kepada 5,144.92.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 252.26 mata kepada 19,257.02, Indeks Perladangan melonjak 175.21 mata kepada 7,631.58, Indeks Penjagaan Kesihatan menambah 31.59 mata kepada 2,103.30 dan Indeks Teknologi meningkat 2.85 mata kepada 61.15.

Indeks Tenaga merosot 4.72 mata kepada 834.08 serta Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan berkurangan 0.96 mata kepada 172.61.

Jumlah dagangan meningkat kepada 14.87 bilion unit bernilai RM12.83 bilion daripada 9.60 bilion unit bernilai RM9.88 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama naik kepada 7.63 bilion saham bernilai RM11.09 bilion daripada 5.30 bilion saham bernilai RM8.88 bilion minggu lepas.

Jumlah dagangan waran meningkat kepada 4.53 bilion unit bernilai RM691.43 juta daripada 2.55 bilion unit bernilai RM396.20 juta sebelum ini.

Jumlah dagangan Pasaran ACE naik kepada 2.71 bilion saham bernilai RM1.03 bilion daripada 1.71 bilion saham bernilai RM598.99 juta minggu lepas.- Livevartha

Related Articles

Ekonomi

Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar AS

FOTO FAIL KUALA LUMPUR, 14 November – Ringgit dibuka mendatar berbanding dolar...

Harga rumah teres dijangka naik hingga 5 peratus menjelang 2025
Ekonomi

Harga rumah teres dijangka naik hingga 5 peratus menjelang 2025

HARGA rumah teres dijangka meningkat menjelang tahun depan. – GAMBAR HIASANPETALING JAYA:...

Ekonomi

Lawatan PM ke Mesir berjaya jana potensi eksport bernilai RM4.8 bilion

Mesyuarat Meja Bulat bersama pemain industri Mesir di Kaherah /Foto FB TENGKU...

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi Wall Street
Ekonomi

Bursa Malaysia dibuka rendah, jejaki prestasi Wall Street

Bursa Malaysia dibuka rendah pada sesi awal dagangan hari ini, dipengaruhi oleh...