IPOH: Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berlapang dada sekiranya tidak terpilih bagi jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti itu untuk penggal 2024-2027.
Menurutnya, kalah atau menang tidak menjadi soal kerana apa yang penting adalah melaksanakan tanggungjawab kepada parti dalam apa juga kapasiti.
“Saya fikir peluang kepada semua calon naib presiden sama rata kerana saya percaya semua berharap dipilih untuk menabur bakti, begitu juga saya.
“Tetapi apa juga keputusan, saya fikir kami perlu menerima dengan hati terbuka dan meneruskan usaha memberi khidmat bakti kepada parti dalam apa juga kapasiti,” katanya ditemui pada Persidangan Tahunan Bersatu Bahagian Tambun 2024 di sini semalam.
Selain Ahmad Faizal yang merupakan penyandang jawatan Timbalan Presiden, lima lagi calon yang bertanding bagi jawatan Naib Presiden ialah A’ziss Zainal Abidin, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, Datuk Dr. Mohd. Radzi Md Jidin, Datuk Razali Idris dan Mohd. Rafiq Abdullah.
Mengulas lanjut Ahmad Faizal berkata, warga Tambun khususnya penyokong beliau juga diminta bertenang dan menerima keputusan sekiranya beliau kalah pada pemilihan jawatan tersebut.
Menurut beliau, kekalahan dalam merebut jawatan tidak sepatutnya mewujudkan perpecahan dalam kalangan ahli parti.
“Apa yang perlu kita lakukan adalah memperkuatkan parti. Jangan pula apabila kita tewas, kita melemahkan parti. Jadi, niat awal untuk menguatkan itu kita teruskan, apa juga keputusan terima dengan baik.
“Bagi keluarga besar di Tambun, kalau ditakdirkan saya tidak terpilih, kita tenang sahaja,” ujarnya.
Terdahulu, Ahmad Faizal menang tanpa bertanding bagi jawatan Ketua Bahagian Bersatu Tambun selain 14 lagi Bahagian lain termasuk Pasir Salak, Ipoh Barat, Ipoh Timur, Gopeng, Larut, Lenggong, Bagan Serai, Parit, Tanjung Malim, Bagan Datuk, Bukit Gantang, Beruas, Padang Rengas dan Parit Buntar.