TEMERLOH: Pemilihan PKR akan diadakan selepas mandat dipegang barisan pimpinan parti itu pada ketika ini berakhir Mei tahun depan.
Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh memaklumkan, tidak timbul isu pemilihan parti itu akan ditangguhkan kerana mandat pimpinan sedia ada masih sah dan tamat tempoh jawatan sehingga tahun hadapan.
“Kena perbetulkan naratif, pemilihan bukan ditangguh dan ia akan diadakan mengikut masa.
“Sebab (sebelum ini) ada yang mungkin memikirkan perlu ditangguh, tapi tarikh akhir adalah Mei 2025,” katanya selepas melakukan tinjauan skim harga maksimum sempena Deepavali di Mentakab di sini.
Terdahulu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu supaya pemilihan PKR disegerakan, dengan menjelaskan ia akan membuka ruang kerjasama antara tenaga muda dan pemimpin lama untuk berganding bahu menguruskan parti dengan lebih efektif.
Malah, Presiden PKR itu dilaporkan berkata, keputusan untuk tidak menangguhkan pemilihan dalam Mesyuarat Biro Politik parti baru-baru ini adalah mengambil kira tarikh jangkaan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) masih jauh.
Ketika ditanya sama ada kebimbangan tahap sokongan terhadap kerajaan Perpaduan menjadi punca timbul cadangan menangguhkan pemilihan parti tersebut disuarakan, Fuziah menegaskan bahawa perkara itu tidak timbul.
“Kerajaan ini kerajaan yang stabil dan kita perlu beri peluang kepada Perdana Menteri untuk selesaikan tugas beliau hingga cukup penggal,” katanya. – UTUSAN