Friday , 29 November 2024
Home Politik Anthony Loke terus terajui DAP Negeri Sembilan
Politik

Anthony Loke terus terajui DAP Negeri Sembilan

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kanan), Gunasekaren (kanan) dan Kee Chin (tiga dari kanan) turut menjalankan tanggungjawab dalam Pemilihan DAP Negeri Sembilan yang berlangsung bersempena Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 di Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

SEREMBAN: Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook kekal menerajui kepemimpinan DAP Negeri Sembilan selepas sebulat suara dipilih sebagai pengerusi bagi penggal 2024-2027.

Kedudukan Anthony Loke yang telah memegang jawatan itu sejak 2004 diputuskan dalam kalangan 15 ahli jawatan kuasa yang baharu dipilih pada pemilihan Jawatankuasa DAP Negeri Sembilan yang berlangsung bersempena Konvensyen Biasa DAP Negeri Sembilan Penggal Ke-20 hari ini.

Jawatan timbalan pengerusi juga masih disandang oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seremban Jaya, P. Gunasekaren.

Anthony Loke yang merupakan Ahli Parlimen Seremban memperoleh 571 undi daripada 658 perwakilan yang hadir pada pemilihan tersebut manakala Gunasekaren memperoleh sebanyak 482 undi.

Sementara itu, dua jawatan Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan masing-masing disandang oleh dua orang Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan iaitu, J. Arul Kumar dan Teo Kok Seong.

Arul Kumar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nilai memperoleh undi kedua tertinggi dalam pemilihan tersebut dengan sebanyak 533 undi manakala Kok Seong mendapat sebanyak 415 undi.

Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin juga kekal diberi kepercayaan sebagai Setiausaha DAP Negeri Sembilan.

Anthony Loke yang merupakan Setiausaha Agung DAP sementara itu berkata, jawatankuasa yang dipilih tersebut menyaksikan sedikit perubahan dengan empat muka baharu ditampilkan.

“Perwakilan DAP Negeri Sembilan sangat matang, mereka tahu menilai apa yang terbaik dengan memilih jawatan kuasa negeri baru, rata-rata yang dipilih berpengalaman dan sedia ada tetapi terdapat juga suntikan muka baharu.

“Ini perkara biasa dalam setiap pemilihan akan ada calon-calon muda yang akan diberikan peluang, dan kali ini empat orang kali pertama memenangi dalam pemilihan parti kali ini dan dibawa masuk dalam jawatan kuasa negeri,” katanya.

Beliau turut berkata, jawatan kuasa baharu berkenaan juga pastinya akan memimpin DAP di negeri Sembilan dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang yang dijangka seawalnya pada tahun 2027.

“Kita kena terus perkuatkan parti dalam kerajaan dan juga parti dalam keseluruhannya daripada segi organisasi dan mempersiapkan parti untuk pilihan raya umum akan datang dan pastikan kami ada barisan calon yang kuat, berpengalaman dan mampu mengekalkan kemenangan dalam pilihan raya akan datang,” katanya.-UTUSAN.

Related Articles

Politik

Bersatu perlu terbuka serah mandat Pas kemudi PN

Bersatu didakwa semakin lemah dan Pas patut diberi laluan kemudi PNPETALING JAYA:...

Politik

Kerugian FashionValet boleh bantu ratusan usahawan bumiputera

Dr. Kelvin Yii Lee WuenKUALA LUMPUR: Kerugian pelaburan bernilai RM43.9 juta dicatatkan...

Politik

Radzi, Ronald, Peja menang jawatan Naib Presiden Bersatu

Ronald Kiandee (kiri), Ahmad Faizal Azumu (dua kiri) dan Radzi Jidin (kanan)...

Politik

‘Guan Eng jangan menangis minta bantuan lagi’

LIM GUAN ENGKUALA LUMPUR: Sebilangan kecil pemimpin Kerajaan Perpaduan didakwa masih terbawa-bawa...