KLUANG: Dakwaan sesetengah pihak bahawa Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sebagai hambar sehingga timbul isu tidak mahu keluar mengundi sebagai kurang tepat dan berbeza daripada keadaan sebenarnya.
Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah berkata, pendekatan tidak mengadakan kempen secara berceramah kepada umum oleh jentera BN mungkin menjadi faktor dakwaan dan keadaan itu.
Sebenarnya perjalanan kempen rancak diadakan oleh semua jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan yang mengadakan ceramah berkelompok serta kunjungan dari pintu ke pintu untuk menemui pengundi.
“Cara sentuhan ini dilihat lebih memberikan kesan dan sentuhan mendalam selain lebih mesra kepada pengundi.
“DUN Mahkota bukanlah kawasan yang besar walaupun mempunyai lebih 66,000 pengundi, namun konsep kekeluargaan yang diamalkan oleh UMNO-BN membuatkan tiada masalah besar untuk mendekati masyarakat di sini,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Menjelang hari mengundi awal esok, Syed Hussien berharap para pengundi berkenaan membuat pilihan bijak bagi membolehkan mereka menikmati setiap pembangunan yang dirancang oleh kerajaan negeri ketika ini.
Beliau mengakui bukan seorang yang sempurna berjanji akan memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya diberikan mandat untuk menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.
“Pilihlah calon yang boleh memberi masa depan dan jaminan yang baik untuk anak bangsa dan masyarakat, jangan kita sia-siakan peluang yang ada untuk kita mengadaptasikan perkara-perkara kebaikan untuk semua,” katanya. – UTUSAN