Saturday , 16 November 2024
Home Ekonomi [Tinjauan Fiskal 2025] Peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion
Ekonomi

[Tinjauan Fiskal 2025] Peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion

[Tinjauan Fiskal 2025] Peruntukan Belanjawan 2025 berjumlah RM421 bilion

JUMLAH perbelanjaan pada 2025 diunjur lebih tinggi kepada RM421 bilion atau 20.2 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025.

Menurut laporan itu, sebanyak RM335 bilion atau 16.1 peratus adalah untuk Perbelanjaan Mengurus (OE), manakala RM86 bilion atau 4.1 peratus untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE).

Katanya, peningkatan tersebut terutamanya disebabkan oleh emolumen dan bayaran persaraan lebih tinggi ekoran pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) serta peningkatan bayaran khidmat hutang.

“Kerajaan akan meneruskan inisiatif rasionalisasi subsidi untuk menangani ketirisan dan pembaziran, di samping meningkatkan program bantuan sosial.

“Selain itu, usaha mengoptimumkan perbelanjaan akan dipergiat, termasuk inisiatif rasionalisasi badan berkanun yang bertujuan menangani pertindihan fungsi, sekali gus memastikan perbelanjaan yang cekap dan memaksimumkan keberhasilan.

“Sementara itu, DE akan ditumpukan, terutamanya kepada sektor ekonomi dengan sebahagian besar peruntukan bagi membiayai projek infrastruktur untuk menjana aktiviti ekonomi dan meningkatkan kualiti hidup.

“Peruntukan ini, termasuk projek tebatan banjir, pembekalan air dan pembinaan lebuh raya serta penambahbaikan kemudahan kesihatan dan institusi pendidikan,” katanya.

Selain itu, defisit fiskal disasar terus berkurang kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025 menggambarkan komitmen berterusan kerajaan terhadap konsolidasi fiskal.

Jelasnya, pengurangan itu akan menyediakan ruang fiskal yang mencukupi bagi menangani kesan ketidaktentuan global dan mengurangkan beban hutang dalam jangka masa panjang dan baki primer diunjur mencatat defisit lebih rendah kepada 1.2 peratus daripada KDNK.

“Pendekatan fiskal yang berhemat ini bertujuan meningkatkan daya tahan ekonomi serta meneruskan pertumbuhan dan pembangunan yang mampan di samping membolehkan Kerajaan menguruskan pendedahan risiko dengan berkesan,” katanya.

Mengenai perbelanjaan bagi 2024, laporan itu menyebut, perbelanjaan kerajaan telah disemak semula kepada RM407.5 bilion, kenaikan 3.5 peratus berbanding anggaran awal sebanyak RM393.8 bilion.

Daripada jumlah itu, peruntukan untuk OE diunjur meningkat 5.8 peratus atau RM17.7 bilion disebabkan oleh ernolumen, bayaran persaraan, bayaran khidmat hutang serta subsidi dan bantuan sosial yang lebih tinggi.

“Sementara itu, DE dijangka berkurang kepada RM86 bilion atau 4.4 peratus daripada KDNK setelah mengambil kira kemajuan pelaksanaan program dan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (2021-2025).

“Bagaimanapun, DE kekal melebihi had statutori tiga peratus daripada KDNK seperti yang ditetapkan di bawah Akta 850.

“Sehubungan itu, defisit fiskal dijangka kekal pada 4.3 peratus daripada KDNK seperti sasaran Belanjawan 2024. Baki primer yang tidak termasuk bayaran khidmat hutang dijangka terus berkurang dengan mencatat defisit 1.7 peratus daripada KDNK,” katanya. – UTUSAN

Related Articles

KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga
Ekonomi

KDNK Malaysia berkembang 5.3 peratus pada suku ketiga

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin (kiri) dan Gabenor Bank Negara...

Ekonomi

Pasaran harta tanah Suku Ketiga 2024 catat peningkatan

Prestasi pasaran harta tanah pada Suku Ketiga 2024 menunjukkan perkembangan positif dengan...

Ekonomi

Kadar inflasi 2025 dijangka berpurata antara 2-3.5 peratus

Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour / Foto BernamaKUALA LUMPUR,...

Ekonomi

Perbendaharaan AS gugurkan Malaysia daripada senarai pemantauan rakan dagang

FOTO AFPKUALA LUMPUR, 15 November- Malaysia digugurkan daripada senarai pemantauan Jabatan Perbendaharaan...