Home Ekonomi Petronas antara penerima PSA untuk lima blok minyak luar pesisir Guyana
Ekonomi

Petronas antara penerima PSA untuk lima blok minyak luar pesisir Guyana

Petronas antara penerima PSA untuk lima blok minyak luar pesisir Guyana

KABINET Guyana meluluskan tawaran Petronas untuk meneroka blok perairan cetek S4 pada Mei lalu.

GEORGETOWN: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) bersama lima firma tenaga antarabangsa mencapai persetujuan dengan Guyana berkaitan terma perjanjian pengagihan pengeluaran untuk meneroka lima blok minyak dan gas di luar pesisir negara itu.

Firma lain adalah TotalEnergies, Qatar Energy, Cybele Energy, Delcorp dan International Group Investment.

Memetik laporan Reuters, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Kementerian Tenaga Guyana pada Rabu.

Satu tender yang dilancarkan pada 2022 untuk kawasan di perairan cetek dan dalam telah menghasilkan tawaran untuk lapan blok, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mempelbagaikan industri tenaga yang didominasi oleh konsortium yang dipimpin oleh Exxon Mobil.

Kumpulan Exxon, yang juga sedang berbincang dengan kerajaan mengenai terma untuk meneroka kawasan luar pesisir S8 yang merupakan sebahagian daripada tender, berminat untuk menilai peluang penangkapan dan penyimpanan karbon dalam blok tersebut, kata kementerian dalam satu kenyataan.

Perjanjian pengagihan pengeluaran (PSA) untuk blok tersebut sedang dalam semakan, tambah kementerian, tanpa memberikan penjelasan lanjut.

Pada Mei lalu, seorang pegawai kerajaan berkata, kabinet Guyana telah meluluskan tawaran oleh Qatar Energy, TotalEnergies dan Petronas untuk meneroka blok perairan cetek S4 dan rundingan mengenai terma bukan fiskal telah dimulakan.

Ketua Exxon untuk Guyana berkata, pada ketika itu, kerajaan juga telah memulakan perbincangan berasingan dengan Exxon, Hess Corp dan CNOOC mengenai tawaran mereka.

Dokumen akhir untuk kawasan-kawasan tersebut belum ditandatangani.

Kementerian Tenaga Guyana juga menyatakan dalam kenyataan bahawa respon daripada syarikat tenaga tempatan Sispro masih belum diterima berkaitan dengan tawarannya untuk dua daripada blok tersebut.

Lembaga tender Guyana secara berasingan bulan ini berkata, kumpulan tempatan VHE Consulting telah memenangi kontrak bernilai AS$1.5 juta (RM6.46) untuk mengaudit perbelanjaan Exxon dan bahagian minyak keuntungan Guyana untuk tempoh 2021 hingga 2023.-AGENSI

Related Articles

Purata gaji dan upah pekerja naik kepada RM3,332 sebulan pada 2022
Ekonomi

Purata gaji dan upah pekerja naik kepada RM3,332 sebulan pada 2022

PETALING JAYA: Purata gaji dan upah bulanan pekerja pada 2022 adalah sebanyak...

IFIRST Bank Islam perkasa PKS, syarikat sederhana ke arah ekonomi hijau
Ekonomi

IFIRST Bank Islam perkasa PKS, syarikat sederhana ke arah ekonomi hijau

MOHD. Muazzam Mohamed (tiga dari kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk...

Sektor pembinaan terus rancak dipacu projek infrastruktur awam
Ekonomi

Sektor pembinaan terus rancak dipacu projek infrastruktur awam

PROJEK LRT Pulau Pinang adalah projek infrastruktur terbesar yang dilaksanakan pentadbiran Kerajaan...

Rundingan perdagangan Malaysia-AS sentuh kestabilan pelaburan E&E
Ekonomi

Rundingan perdagangan Malaysia-AS sentuh kestabilan pelaburan E&E

PETALING JAYA: Rundingan tarif antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) bukan sekadar...