KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Asas ekonomi negara terus mengukuh dengan unjuran pertumbuhan ekonomi suku kedua 2024 mencapai 5.9 peratus, berbanding 4.2 peratus pada suku pertama.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata kadar pengangguran turut mencatat penurunan kepada 3.2 peratus setakat Ogos 2024, menghampiri keadaan sebelum pandemik COVID-19.
\”Inflasi pada Ogos 2024 berada pada tahap terkawal iaitu 1.9 peratus, berbanding 2 peratus bagi tiga bulan sebelumnya. Selain itu, pelaburan yang diluluskan, perdagangan, serta indeks pengeluaran perindustrian menunjukkan prestasi lebih kukuh, manakala sistem kewangan yang teguh turut menyumbang kepada peningkatan nilai ringgit,\” katanya ketika menjawab soalan daripada wakil Kampar, Chong Zhemin di Dewan Rakyat, di sini.
Jawapan tersebut dibacakan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan.