KUALA LUMPUR, 16 Oktober – Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) telah menjalin kerjasama strategik bagi membangunkan bakat berkemahiran tinggi melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Kerjasama itu bertujuan memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk tenaga kerja mahir dalam sektor pembuatan yang pesat membangun.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata gabungan usaha kedua-dua pihak akan melahirkan generasi baharu profesional berkemahiran tinggi.
Bercakap pada majlis menandatangani memorandum persefahaman antara MIDA dan MTUN, kerjasama tersebut menggariskan beberapa bidang tumpuan utama.
Ini termasuk menyelaraskan penawaran buruh dengan permintaan industri serta membangunkan modal insan melalui program pembangunan bakat TVET.
Perkongsian itu juga akan memudahkan pemindahan pengetahuan dari sektor industri kepada akademik.