KUALA LUMPUR, 10 Oktober- Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) berjaya muktamadkan rundingan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA).
Perjanjian itu membolehkan tarif dihapuskan atau dikurangkan serta mengurangkan halangan perdagangan.
Ia juga bertujuan memupuk kerjasama sektor swasta dan mencipta peluang pelaburan baharu.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz menerusi kenyataan berkata, CEPA merupakan Perjanjian Perdagangan Bebas yang pertama dan bersejarah melibat negara Anggota Majlis Kerjasama Negara-negara Teluk (GCC).
Beliau yakin perjanjian itu akan meningkatkan perdagangan, merangsang pelaburan dan memperdalam hubungan ekonomi Kuala Lumpur-Abu Dhabi.
UAE merupakan hab strategik bagi pengeksport tempatan untuk mengakses pasaran di Timur Tengah, Afrika Utara dan beberapa pasaran di Eropah.
Pada masa sama, syarikat yang berpangkalan di negara itu boleh mengoptimumkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran ASEAN.
Pada 2023, perdagangan dua hala bukan minyak antara kedua negara melebihi AS$4.9 bilion.
Bagi separuh pertama tahun ini, dagangan sama mencecah AS$2.5 bilion, meningkat tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.