SEOUL, 30 September- Persidangan GSMA Mobile APAC 360, yang menghimpunkan wakil-wakil pengendali rangkaian mudah alih seluruh dunia dan kerjasama pemain industri filem Korea Selatan, merupakan antara fokus Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dalam lawatan kerja tiga harinya ke negara itu bermula hari ini.
Fahmi dijadual menyampaikan ucaptama bertajuk \”Building the AI-Enabled Digital Backbone\” semasa persidangan yang akan berlangsung dari 1 hingga 2 Okt di sini.
\”Saya akan menyampaikan ucaptama dalam persidangan anjuran GSMA ini serta membincangkan usaha Malaysia mempercepatkan penerimagunaan kecerdasan buatan (AI),” katanya kepada Bernama di sini.
Ini merupakan kali kedua Fahmi menghadiri persidangan tersebut.
Kali pertama adalah pada September tahun lalu, apabila beliau menyampaikan ucaptama di GSMA Mobile 360 APAC dan Forum Pemimpin Dasar 2023, yang menekankan usaha penting dalam meningkatkan kesalinghubungan jalur lebar serta pelaksanaan rangkaian 5G yang sedang dilaksanakan di seluruh negara.
GSMA ialah sebuah organisasi global yang mewakili kepentingan pengendali rangkaian mudah alih di seluruh dunia dalam ekosistem mudah alih dan industri berkaitan.
Hari ini, Fahmi dijadual melawat beberapa syarikat, bertemu dengan wakil pengendali telekomunikasi tanpa wayar Korea Selatan SK Telecom, serta menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CelcomDigi dan SK Telecom.
Jadual padat Fahmi akan diteruskan dengan mesyuarat dua hala bersama Menteri Sains dan ICT (MSIT) Korea Yoo Sang-im esok, bertujuan membincangkan bidang kerjasama penting yang menjadi kepentingan bersama.
Pada hari terakhir lawatannya, menteri komunikasi itu juga dijadual bertemu dengan Pengerusi Festival Filem Antarabangsa Busan (BIIF) Park Kwang-su dan Ketua Pegawai Eksekutif Busan Cinema Centre Kim Jae Hin untuk membincangkan dan meneroka peluang kerjasama dalam industri perfileman.
Pada Mei lepas, Fahmi berkata kementeriannya akan memberi tumpuan kepada pengembangan industri filem Malaysia di pasaran Asia Tenggara sebelum melangkah lebih jauh, di mana pemerhatian menunjukkan bahawa industri filem di rantau ini mempunyai potensi besar berdasarkan jumlah penduduknya.- BERNAMA