KLUANG: Hari pengundian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota hari ini turut memberi rezeki tambatan kepada golongan penjaja.
Ada penjaja yang mengambil peluang menjual makanan dan minuman ringan di luar kawasan pusat mengundi.
Salah seorang peniaga, Muhammad Hazim Khalid, 25, menjual minuman dan makan segera kepada para pengundi di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Kampung Melayu, di sini.
“Alhamdulillah, ada rezeki sempena hari mengundi hari ini. Ramai pengundi yang singgah beli air dan makanan yang saya jual sejak pagi tadi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jika cuaca cerah, dia bercadang membuka gerainya hingga pusat pengundian itu ditutup hingga pukul 6 petang ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lalu.
PRK tersebut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussien Syed Abdullah, 40, dengan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61, – UTUSAN