PETALING JAYA: Sunway Property menjadi pemaju pertama yang bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk menerajui inisiatif rendah karbon dalam Zon Rendah di Kawasan Iskandar Puteri.
Kerjasama strategik itu mengukuhkan komitmen bersama kedua-dua organisasi untuk memajukan Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030 (IPCAP 2030) yang bermatlamat untuk mewujudkan persekitaran bandar yang mampan dan mesra alam.
Ketua Pegawai Eksekutif SCIP, Gerard Soosay berkata, kerjasama itu menandakan penjajaran strategik antara Sunway Property dan MBIP yang memfokus pada kemampanan, inovasi, dan peningkatan kehidupan bandar untuk perbandaran SCIP.
“Di Sunway Property, kami berdedikasi untuk menerajui kemampanan dengan memperkenalkan penyelesaian inovatif rendah karbon yang sejajar dengan komitmen alam sekitar kami.
“Kerjasama dengan MBIP ini mengukuhkan usaha kami dalam membangunkan perbandaran model yang bukan sahaja merangkumi amalan hijau tetapi juga dengan usaha yang aktif ke arah objektif yang digariskan dalam IPCAP 2030.
“Misi kami jelas, iaitu untuk mewujudkan bandar rendah karbon yang bertenaga sambil menyumbang kepada visi Sunway Group untuk mencapai pelepasan karbon sifar menjelang 2050,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, MOU tersebut turut menekankan peranan penting Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) dalam memupuk minda rendah karbon dalam kalangan penduduk, perniagaan dan komuniti.
Melalui jangkauan awam, Sunway Property menyasarkan untuk menginspirasikan budaya kemampanan dengan menonjolkan kepentingan peranan setiap individu dalam mengurangkan jejak karbon demi mencapai pelepasan karbon sifar menjelang pertengahan abad.
Sementara itu, Datuk Bandar MBIP, Datuk Mohd. Haffiz Ahmad berkata, kerjasama dengan Sunway City Iskandar Puteri mengukuhkan dedikasi bersama untuk membina masa depan yang rendah karbon dan mampan.
“Dengan menggabungkan teknologi pintar dan amalan mampan, kami bukan sahaja dapat mengurangkan pelepasan karbon, tetapi juga dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk.
“MOU ini menandakan satu peristiwa penting dalam usaha untuk membina perbandaran lestari seperti yang digariskan dalam Pelan Tindakan Iklim Iskandar Puteri 2030,” katanya.-UTUSAN