Wednesday , 25 September 2024
Home Politik NGO Melaka cadang gelaran Datuk Pengerusi GISBH ditarik
Politik

NGO Melaka cadang gelaran Datuk Pengerusi GISBH ditarik

WAN AHMAD AFIQ Noordin (dua dari kiri) bersama Amirul Hakim Mohd. Yusof (dua dari kanan) selepas sesi penyerahan petisyen di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. – UTUSAN/HADI AB. MANAP

MELAKA: Pertubuhan Kepimpinan Anak Bangsa Melaka (PKABM) menghantar petisyen kepada Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka untuk meminta pertimbangan agar Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang dikurniakan kepada Pengerusi Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd. Ali ditarik.

Pengerusi PKABM, Wan Ahmad Afiq Noordin berkata, darjah kebesaran itu telah dikurniakan pada 25 Ogos lalu Sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.

Tegasnya, walaupun Nasiruddin belum didapati bersalah oleh mahkamah, siasatan berhubung tuduhan serius termasuk isu pemerdagangan manusia memberi impak negatif kepada persepsi masyarakat terhadap penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Melaka.

“Kami ingin menarik perhatian pihak Istana Melaka terhadap imej negeri yang kini dipertaruhkan susulan penganugerahan DPSM kepada Pengerusi GISBH.

“Siasatan ini dilihat telah mencemarkan nama baik negeri kerana menonjolkan seorang individu yang kini terlibat dalam kontroversi besar.

“Rakyat Melaka amat memandang tinggi anugerah kebesaran negeri yang melambangkan kehormatan dan integriti individu yang menerimanya,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan petisyen di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, hari ini.

Petisyen diterima oleh Penolong Setiausaha Kerajaan Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Amirul Hakim Mohd. Yusof.

Tambah Wan Ahmad Afiq, petisyen yang turut dilancarkan di laman sesawang, change.org berjaya mengumpul kira-kira 1,000 tandatangan.

“Kami memohon pihak Istana Melaka mempertimbangkan semula penganugerahan pingat ini kepada Nasiruddin demi menjaga nama baik negeri.

“Penarikan semula pingat ini adalah satu langkah yang perlu untuk memastikan Melaka terus dikenali sebagai negeri yang menyanjung tinggi integriti dan moraliti, serta mengelakkan imej negeri terus tercemar dengan kontroversi yang berkaitan dengan penerima pingat tersebut,” jelasnya. – UTUSAN

Related Articles

Politik

Azmin hanya tanding Ketua Bersatu Bahagian Gombak

MOHAMED AZMIN ALIKUALA LUMPUR: Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor, Datuk...

Politik

Papar gambar pemimpin politik pada slaid khutbah Jumaat: Empat pegawai JAIM diambil tindakan

RAHMAD MARIMANMELAKA: Kerajaan negeri telah mengambil tindakan tatatertib terhadap empat pegawai Jabatan...

Politik

Rakyat Malaysia di Lubnan digesa segera tinggalkan negara itu – Mohamad Hasan

MOHAMAD HASANPUTRAJAYA: Semua warganegara Malaysia di Lubnan digesa untuk segera meninggalkan negara...

Politik

Lebih 35 peratus mengundi hingga 10 pagi

RAMLAN Harun (dua dari kiri) meninjau proses pengundian awal PRK DUN Mahkota...