PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan cadangan Ketua Penerangan Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris untuk membubarkan Parlimen dengan segera menunjukkan pembangkang kini semakin ketandusan idea alternatif yang dapat memberi manfaat kepada rakyat dan negara.
Ketua Penerangannya, Nabil Halimi berkata, pembangkang harus sedar bahawa mandat yang diberikan rakyat adalah untuk lima tahun dan mereka berhak memberinya kepada gabungan lain dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya prestasi kerajaan sedia ada didapati tidak memuaskan dalam tempoh itu.
Malah, katanya, pelbagai reformasi ekonomi telah dilaksanakan dalam tempoh hampir dua tahun pentadbiran seperti penstrukturan semula subsidi, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga dan Pelan Induk Industri Baru 2030.
“Hasilnya, keyakinan pelabur telah pulih, nilai ringgit mengukuh dan kadar pertumbuhan ekonomi negara melebihi jangkaan.
“Maka, tiada justifikasi yang kukuh untuk mengadakan pilihan raya umum secara terburu-buru, yang hanya akan membazirkan masa dan sumber negara.
“Sebaliknya, pembangkang dilihat ketagihan tabiat untuk menukar kerajaan secara kerap yang boleh merosakkan kestabilan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan, seorang pemimpin Bersatu mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membubarkan Parlimen segera untuk mengembalikan semula mandat kepada rakyat untuk memilih kerajaan baharu.
Razali dilaporkan mendakwa pilihan raya kilat disifatkan jalan terbaik mengukur sokongan kerajaan hari ini dan bukan usul tidak percaya di Dewan Rakyat seperti gesaan Anwar kepada pembangkang, Jumaat lalu.
Mengulas lanjut, Nabil berkata, sebarang usaha untuk mendesak Anwar melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri harus dibawa ke Dewan Rakyat.
Katanya, perkara itu seperti yang ditegaskan oleh Ketua AMK, Adam Adli sebelum ini.
“Rakyat perlu melihat pembangkang sebagai entiti yang berdisiplin dan tidak mengheret negara ke kancah ketidakstabilan.
“Usah berdolak-dalik menipu diri sendiri untuk sesuatu isu yang menampakkan kelompongan kesepakatan barisan pembangkang di dalam Perikatan Nasional yang kian retak menanti belah,” katanya. – UTUSAN