Home Ekonomi Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050
Ekonomi

Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050

Penang Port sedia tingkat kapasiti 4.1 juta unit TEU menjelang 2050

SASEDHARAN Vasudevan pada sesi lawatan media di ibu pejabat Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB) di Pulau Pinang, semalam.-UTUSAN/AMIR KHALID

BUTTERWORTH: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), ahli kumpulan MMC bersedia untuk meningkatkan kapasiti kontena North Butterworth Container Terminal (NBCT) sebanyak 4.1 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) menjelang 2050.

Ketua Pegawai Eksekutif PPSB, Datuk Sasedharan Vasudevan berkata, pengembangan ini di bawah pelan induk yang dicadangkan selama 30 tahun dianggarkan bernilai RM2 bilion.

Beliau berkata, pembangunan yang dirancang termasuk memperluas kapasiti tapak kepada 2.9 juta TEU yang akan dilaksanakan dalam lima fasa.

“Setiap fasa akan melibatkan penambakan tanah seluas 14 hektar untuk tapak kontena, tambahan 70 hektar kepada 72.2 hektar sedia ada, manakala dermaga akan diperluas kepada 2.9 kilometer (km) dari 1.5km,” katanya kepada pemberita dalam sesi lawatan bersama media di Penang Port, di sini semalam.

Menurut Sasedharan, pembangunan kini berada di fasa pertama di mana kapasiti kontena meningkat kepada 2.3 juta dari 2.1 juta TEU. 

“Walaupun rancangan tersebut belum mendapat kelulusan kerajaan negeri, pengembangan tersebut adalah perlu untuk memenuhi pertumbuhan TEU memandangkan kedudukan Pulau Pinang dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E) dan pelaburan langsung asing (FDI) yang diterima oleh kawasan utara.

“Tiga tahun lalu, Pulau Pinang merupakan pengeksport terbesar dan juga sangat kuat dalam sektor E&E.

“Pembuatan solar adalah salah satu yang terbesar kerana kami mempunyai tiga pemain solar utama di kawasan utara,” katanya.

Sasedharan menjelaskan, pengembangan masa depan itu untuk memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam konsesi yang diterima daripada kerajaan.

“Kontrak konsesi kami sehingga 2055, lebih 30 tahun lagi. Jadi, sebagai sebahagian daripada konsesi, kami perlu memperluas kapasiti,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sasedharan memaklumkan, pengembangan yang dirancang juga telah mengambil kira pertumbuhan kontena dan pembangunan, termasuk zon industri yang akan datang.

“Sebagai pelabuhan terdekat, kami perlu berkembang untuk memenuhi permintaan ini. Disebabkan kami mempunyai pelbagai fasa berdasarkan permintaan yang akan datang.

“Sama ada pengembangan masa depan NBCT akan berlaku atau tidak, syarikat sudah bersedia dengan rancangan untuk memenuhi pertumbuhan perdagangan,” katanya.-UTUSAN

Related Articles

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini
Ekonomi

Pertumbuhan ekonomi berisiko lebih rendah tahun ini

PERTUMBUHAN keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia berisiko lebih rendah tahun ini....

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ
Ekonomi

CIMB umum komitmen RM10 bilion lonjak pertumbuhan JS-SEZ

PETALING JAYA: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) komited dalam kemudahan pembiayaan sebanyak...

Ekonomi

Emas ditutup tinggi susulan ketidaktentuan politik, ekonomi global

Kontrak niaga hadapan emas di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin...

Ekonomi

PEOPLElogy Bhd sedia tersenarai di Bursa Malaysia 20 Mei ini

PEOPLElogy Bhd mengesahkan komitmennya untuk meneruskan rancangan penyenaraian di Pasaran ACE Bursa...