KLUANG: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berharap tidak berlaku sabotaj atau sebarang masalah selepas calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota diumumkan hari ini.
Beliau yang juga Presiden UMNO mahu semuanya berjalan lancar dengan jentera parti bergerak dengan baik seperti yang ditunjukkan dalam PRK DUN Nenggiri bulan lalu.
“Semua jentera mesti gerak dengan baik, jentera MCA mesti gerak cukup kuat, ‘assignment’ (tugasan) kepada MIC untuk santuni masyarakat India. Kita mahu dari 7 hingga 14 September ini (sebelum hari penamaan calon), ada tujuh hari, siapa pun jadi calon, ambil masa tujuh hari ini untuk pemujukan jentera dan penyokong.
“Tak lupa rakan-rakan Parti Amanah Negara (Amanah), DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), ini pertama kali kita kombinasikan dalam satu pasukan, pasukan DUN Kerajaan Perpaduan untuk DUN Mahkota,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Jentera dan Pengenalan Calon BN PRK DUN Mahkota di sini hari ini.
Dalam majlis itu, Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah diumumkan sebagai calon BN bagi PRK DUN Mahkota. – UTUSAN